BERITA SEMASADALAM NEGERI

Jalur Gemilang terbalik: SJKC Chung Hua kesal, mohon maaf atas kecuaian

PORT DICKSON – Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia ekoran insiden pemasangan bendera Jalur Gemilang yang terbalik pada 1 Ogos yang lalu.

Dalam satu kenyataan, pihak sekolah menzahirkan rasa kesal dan memohon maaf atas kecuaian yang berlaku.

Lembaga Pengelola dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan berkata, insiden itu berlaku akibat kecuaian seorang pekerja yang ditugaskan untuk memasang bendera pada waktu hampir tamat sesi persekolahan.

“Seorang pekerja sekolah menjalankan tugas pemasangan bendera sebelum tamat waktu bekerja, namun, akibat kecuaian, salah satu bendera telah dipasang dalam keadaan terbalik.

“Kesilapan ini adalah tidak disengajakan, kami mengakui bahawa ia telah menimbulkan kekeliruan dan kegusaran awam. Kami rasa amat kesal,” kata kenyataan itu.

Lihat juga : KPM ambil tindakan tegas sekolah pasang bendera terbalik

Insiden tersebut, yang dirakam oleh orang awam, telah tular di media sosial dan mendapat perhatian pelbagai pihak.

Dalam pada itu, SJKC Chung Hua menegaskan pihak sekolah sentiasa mengutamakan penghormatan terhadap simbol negara dan berkomitmen untuk melaksanakan pendidikan patriotik dengan penuh tanggungjawab.

Sekolah itu turut berjanji akan memperketatkan prosedur pemantauan serta meningkatkan kewaspadaan dalam pelaksanaan tugas-tugas berkaitan bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.

Sempena Bulan Kemerdekaan, sekolah ini turut mengumumkan pelbagai aktiviti bertemakan patriotik yang sedang dilaksanakan, termasuk Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Pertandingan Hiasan Kelas, Pertandingan Fotografi, Kuiz Hari Kebangsaan, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Reka Poster dan Perarakan Patriotik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button