BERITA SEMASA

Agihan BAP berjalan lancar di seluruh negara, KPM beri tempoh untuk sekolah di pedalaman

PUTRAJAYA – Pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjalan lancar di seluruh negara dan dijangka dapat diselesaikan dalam minggu ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagaimanapun tempoh lebih panjang diberikan kepada sekolah-sekolah di kawasan pedalaman kerana beberapa faktor tertentu.

Menurut beliau, kelonggaran tempoh itu mengambil kira sekolah-sekolah yang mempunyai bilangan murid yang ramai, selain minggu persekolahan baru sahaja bermula.

Fadhlina Sidek
Fadhlina bercakap kepada pemberita selepas majlis tersebut.

“Kita sebenarnya harap dapat menyelesaikan penyaluran bantuan ini dalam minggu ini juga.

“Namun, kita memberi tempoh masa lebih sedikit kerana ada sekolah-sekolah di kawasan pedalaman yang memerlukan tempoh tambahan untuk pengurusan,” katanya kepada pemberita.

Fadhlina berkata demikian pada sidang media selepas Program PAKAT Kurikulum Prasekolah & Kurikulum Prasekolah (Pendidikan Khas) 2026 dan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(1), di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.

Tambah beliau, kementerian juga telah menyarankan agar penyerahan bantuan BAP dilakukan dengan mengadakan pertemuan bersama ibu bapa.

“Ia bertujuan mendapatkan maklum balas keadaan anak-anak di sekolah, khususnya dari segi pembelajaran dan akhlak mereka bersama guru-guru.

“Kita berharap BAP ini dapat diselesaikan segera dan ibu bapa dapat memanfaatkan sepenuhnya wang tersebut untuk menampung persiapan atau keperluan persekolahan anak-anak yang masih belum dapat disempurnakan,” katanya.

Menurut Fadhlina lagi, KPM akan terus mengumpul maklum balas ibu bapa berkaitan pelaksanaan Kurikulum 2026, khususnya di peringkat prasekolah bagi memastikan pelaksanaannya memenuhi keperluan murid dan harapan masyarakat.

“Ahamdulillah tadi sesi berlangsung dengan sangat baik, banyak maklum balas yang kita dapat termasuk maklum balas secara atas talian sebenarnya tadi mengenai harapan mereka tentang kurikulum prasekolah,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan kurikulum baharu prasekolah yang mula dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun ini menumpukan pembelajaran kanak-kanak kepada enam bidang utama.

Ia termasuk sosioemosi, fizikal dan kesejahteraan diri, bahasa dan literasi, kerohanian, nilai dan kewarganegaraan, kreativiti dan estetika serta kognitif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button