BERITA SEMASA

KPM cari penyelesaian terbaik isu Tahun Satu usia 6 tahun

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mencari jalan terbaik bagi menangani kebimbangan pengusaha tadika swasta susulan pelaksanaan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu bermula sesi persekolahan tahun depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihak kementerian telah mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha tadika swasta bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas berhubung pelaksanaan dasar baharu tersebut.

Menurutnya, secara keseluruhan pengusaha terbabit menyokong agenda berkenaan, namun terdapat beberapa perkara dibangkitkan yang memerlukan penelitian lanjut.

“Justeru, penting untuk kementerian melihat isu-isu yang dibangkitkan itu, terutama mengenai kohort yang akan dilaksanakan serta penyelarasan yang dijangka selesai sedikit masa lagi.

“Kita ambil kira juga kebimbangan mereka supaya dapat sama-sama mencari jalan terbaik,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Serahan Smartboard Prasekolah dan Flag Off Susu UHT Farm Fresh Grow percuma untuk murid prasekolah seluruh Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasek Mutiara, di sini hari ini.

Fadhlina berkata, kenyataan sesetengah pihak yang mempersoalkan nasib pengusaha tadika swasta susulan pelaksanaan dasar tersebut yang didakwa boleh menyebabkan kerugian besar.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan semua murid Tahun Satu sama ada berusia enam atau tujuh tahun serta pelajar Tingkatan Satu akan menggunakan kurikulum baharu mulai tahun depan.

“Ketika ini murid prasekolah telah pun menggunakan kurikulum baharu selaras dengan agenda transformasi pendidikan negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button