BERITA SEMASA

Lebih 800,000 murid baharu daftar Darjah 1 dan Tingkatan 1 tahun ini – Fadhlina

SHAH ALAM – Lebih 800,000 murid baharu mendaftar ke Darjah 1 dan Tingkatan 1 bagi sesi persekolahan tahun ini.

Fadhlina Sidek bersama murid-mutid darjah satu di hari pertama persekolahan sesi 2026

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, daripada jumlah tersebut, lebih 442,000 murid mendaftar bagi Darjah 1 manakala kira-kira 400,000 murid pula melibatkan kemasukan ke Tingkatan 1.

“Ini bermakna kohort murid yang kita sambut pada tahun ini mencecah lebih 800,000 orang dan ia menjadi satu amanah besar kepada kementerian untuk memastikan kebajikan, keselamatan serta kualiti pendidikan mereka sentiasa terjamin,” katanya.

Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Liputan Media Sempena Hari Pertama Pembukaan Sekolah bagi Kalendar Akademik Sesi 2026 di SJK (C) Ladang Regent Elmina, Seksyen U15 di sini, gari ini.

Menurut Fadhlina, peningkatan kemasukan murid turut mengukuhkan keperluan penyediaan infrastruktur sekolah yang mencukupi serta perancangan rapi dari aspek tenaga pengajar dan kemudahan pembelajaran.

“Kita melihat misi pendidikan bukan hanya tertumpu kepada kurikulum, tetapi juga melibatkan penyediaan prasarana yang lengkap supaya setiap murid dapat belajar dalam persekitaran yang kondusif,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan sedang menunggu pelaksanaan sebuah lagi projek sekolah menengah di kawasan Elmina yang dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.

“Pembukaan SJK (C) Ladang Regent Elmina ini sendiri membuktikan komitmen Kerajaan Madani bersama kerajaan negeri dalam memastikan keperluan pendidikan dapat dipenuhi seiring pembangunan kawasan,” katanya lagi.

Fadhlina berkata Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 bagi setiap murid telah mula disalurkan bermula hari pertama sesi persekolahan.
Beliau menjelaskan, bantuan itu diberikan secara tunai di sekolah dan ibu bapa digalakkan hadir untuk berinteraksi dengan guru bagi mengetahui perkembangan pendidikan anak-anak.

“Ini adalah komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan semua murid tanpa kecuali mendapat manfaat daripada bantuan awal persekolahan ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina turut berkata, kementerian tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan kanak-kanak di sekolah.

Menurutnya, semua sekolah akan mula melaksanakan Child Protection Policy sebagai satu aku janji bersama melibatkan pentadbir, guru, ibu bapa dan komuniti.

“Polisi ini bertujuan memastikan anak-anak kita dilindungi sepenuhnya ketika berada di sekolah. Manual Sekolah Sejahtera dan Sekolah Selamat juga sedang dimuktamadkan untuk dikongsi bersama masyarakat,” katanya lagi.

Beliau turut menekankan usaha berterusan bagi menangani isu keciciran murid melalui inisiatif seperti Program Ziarah Cakna, yang melibatkan kerjasama sekolah, ibu bapa serta komuniti setempat.

“Kita mahu pastikan tiada anak tercicir daripada sistem pendidikan. Ini tanggungjawab bersama,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button