BERITA SEMASA

Pengambilan guru kontrak dibuat ikut keperluan semasa sistem pendidikan

KUALA LUMPUR – Pengambilan guru kontrak secara besar-besaran oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dilaksanakan berasaskan keperluan semasa sistem pendidikan negara bagi menampung kekurangan tenaga pengajar di sekolah.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, pengambilan itu dibuat dengan memberi keutamaan kepada calon yang memiliki ikhtisas perguruan, namun graduan tanpa ikhtisas turut diperlukan bagi memenuhi kekosongan sedia ada.

Menurutnya, setakat ini tiada isu besar berhubung pengambilan berkenaan memandangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sedang berusaha menyelesaikan proses temu duga calon berkelayakan.

“Pada asasnya, calon yang mempunyai ikhtisas perguruan akan didahulukan, namun jumlah sedia ada masih tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan guru, khususnya sebagai persediaan menghadapi kemasukan murid Tahun Satu pada tahun 2027,” memetik Utusan online.

Fouzi turut berkata, sebarang pertukaran guru perlu dilaksanakan secara terancang dan berhemah dengan mengambil kira kesesuaian opsyen serta bilangan guru di setiap negeri.

“Lebihan guru bagi opsyen tertentu di sesebuah negeri tidak seharusnya berlaku kerana ia boleh menjejaskan kelancaran pengurusan sekolah serta keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya lagi.

Kelmarin, KPM mengumumkan pembukaan permohonan pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara kontrak dari 2 hingga 20 Mac ini bagi memenuhi keperluan guru di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd. Azam Ahmad berkata, hebahan rasmi pengambilan akan dibuat pada 23 Februari, manakala proses saringan dan temu duga dijadual berlangsung dari 27 April hingga 14 Mei dengan kerjasama SPP.

“Inisiatif pengambilan guru secara besar-besaran itu merupakan sebahagian persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, selain menyokong kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu secara sukarela bermula tahun hadapan.

“Bagi memastikan tahap profesionalisme dan kompetensi guru terus terpelihara, calon terpilih akan diwajibkan mengikuti latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM merangkumi bidang pengkhususan yang diperlukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fouzi turut merakamkan penghargaan kepada KPM atas langkah proaktif menangani isu kebajikan guru duka lara dengan menurunkan tempoh kelayakan memohon pertukaran kepada dua tahun.

“Langkah ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan guru, namun pelaksanaannya tetap perlu mengambil kira keperluan perkhidmatan, kekosongan jawatan dan kesesuaian opsyen,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button