BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

GLOCOM 2025 angkat peranan AI dan kerjasama strategik komunikasi

PUTRAJAYA – Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam dunia komunikasi masa kini menuntut kawal selia bertanggungjawab dan kerjasama strategik antara sektor pendidikan dan komunikasi bagi melahirkan masyarakat celik maklumat serta berdaya saing.

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi), Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran berkata, era digital membawa pelbagai cabaran baharu dalam penyampaian maklumat dan pendidikan, justeru sinergi antara kementerian dan institusi berkaitan perlu diwujudkan agar transformasi teknologi berlaku secara seimbang.

Mano Verabathran ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Komunikasi, Budaya dan Media Kontemporari (GLOCOM 2025) di Hotel The Everly Putrajaya.

“Walaupun Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan Tinggi dilihat sebagai dua entiti berbeza, kedua-duanya berkongsi matlamat nasional yang sama iaitu membangunkan sumber manusia berkualiti dan infrastruktur komunikasi yang kukuh.

“Di sinilah titik temu antara IPPTAR dan UPSI dalam menjayakan GLOCOM 2025,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Komunikasi, Budaya dan Media Kontemporari (GLOCOM 2025) di Hotel The Everly Putrajaya, kelmarin.

GLOCOM 2025 yang berlangsung selama tiga hari merupakan anjuran bersama Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan tema Navigating the Digital Age Through the Perspective of Communication and Media.

Persidangan itu menghimpunkan lebih 50 peserta termasuk mahasiswa dan ahli akademik yang membentangkan kertas kerja berkaitan Pendidikan Media, Media Sosial dan Digital serta AI.

Menurut Mano, AI kini banyak digunakan dalam industri media seperti sistem chatbot, analisis ramalan dan automasi data yang mampu meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat.

“AI turut membantu wartawan dan pengamal media menapis fakta secara efisien dan menghasilkan kandungan yang lebih berkualiti. Namun dalam keghairahan meneroka kecanggihan ini, kita tidak boleh mengetepikan aspek tatakelola yang telus serta nilai budaya tempatan,” katanya lagi.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr Suriani Abu Bakar pula menyifatkan penganjuran GLOCOM 2025 sebagai manifestasi semangat intelektual yang berterusan dalam memartabatkan bidang komunikasi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Prof. Dr. Suriani Abu Bakar ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Komunikasi, Budaya dan Media Kontemporari (GLOCOM 2025) di Hotel The Everly Putrajaya.

Beliau berkata, persidangan tersebut membuka ruang ilmiah kepada para sarjana, penyelidik, pelajar dan pengamal industri untuk berkongsi pandangan kritikal terhadap isu komunikasi digital semasa.

“Dalam dunia yang kompleks dan didorong oleh teknologi, komunikasi tidak lagi sekadar menyampaikan maklumat, malah berperanan membentuk naratif, persepsi serta tindakan masyarakat.

“Komunikasi dalam era digital ibarat kompas dalam pelayaran maklumat, yang menentukan arah pemahaman dan tindakan masyarakat,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin berkata, GLOCOM 2025 dirancang sebagai medan intelektual untuk memperkasa perbincangan mengenai media dan komunikasi dalam menghadapi perubahan global dari pelbagai sudut.

Roslan Ariffin ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Komunikasi, Budaya dan Media Kontemporari (GLOCOM 2025) di Hotel The Everly Putrajaya.

Menurutnya, dapatan kajian daripada persidangan itu akan diterbitkan dalam jurnal berindeks SCOPUS sebagai usaha menjenamakan jurnal tempatan Media, Communication and Broadcasting (MECAST) agar diiktiraf di peringkat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button