BERITA SEMASA

Gajah mengamuk dipercayai akibat bunyi hon, sebuah kereta rosak teruk

GERIK – Seekor gajah mengamuk lalu merosakkan sebuah kereta dalam kejadian berhampiran Sungai Lebey, dekat Tugu Peringatan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, malam tadi, dipercayai berpunca daripada bunyi hon kenderaan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.36 malam daripada seorang lelaki berusia 39 tahun, selepas kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 malam di KM 11 JRTB.

Menurut beliau, mangsa yang memandu kereta Toyota Vios ketika itu telah memberhentikan kenderaannya dan mematikan lampu selepas melihat sekumpulan gajah melintas jalan.

Walau bagaimanapun, sebuah kenderaan di belakang membunyikan hon, menyebabkan tiga ekor gajah bertindak agresif dan menghampiri keretanya.

“Dalam keadaan panik, pemandu keluar dari kereta dan menyelamatkan diri ke tempat selamat. Selepas gajah beredar, beliau terus ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Zulkifli, kereta mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan, belakang serta sisi kanan dan kiri, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Baca juga : Gajah betina ‘ratapi’ anak mati dilanggar lori

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar tidak membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi sekiranya terserempak dengan gajah, dan sentiasa mematuhi panduan keselamatan pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button