Sultan Selangor berkenan Jalur Gemilang dikibarkan di Tiang Bendera Negeri Selangor
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan supaya Jalur Gemilang dikibarkan di Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor, Seksyen 13, bermula hari ini hingga 17 September depan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Upacara menaikkan Jalur Gemilang berlangsung di Dataran Selangor hari ini sebagai simbol kecintaan kepada tanah air, selain menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat sempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke-69.
Baginda bertitah, Jalur Gemilang bukan sekadar bendera yang dikibarkan ketika menyambut kemerdekaan, sebaliknya merupakan lambang sebuah negara yang dimiliki dan dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Walaupun kita berbeza bangsa, agama, bahasa, fahaman politik dan latar belakang, Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) mengingatkan bahawa kita tetap rakyat sebuah negara yang sama. Bendera ini milik kita semua. Kita perlu bangga kerana ia adalah simbol perpaduan nasional,” titah baginda.
Baginda mengingatkan semangat Hari Kemerdekaan juga harus diterjemahkan dengan mengenang dan menghargai jasa rakyat Malaysia yang sepanjang kehidupan mereka telah berusaha menyatukan masyarakat dan merapatkan jurang perbezaan.
Pada masa sama, Baginda mahu generasi muda dididik untuk menghormati masyarakat daripada agama, kaum dan budaya yang berbeza.
“Para pemimpin dan ahli politik pula hendaklah menunjukkan teladan dengan mengamalkan kesederhanaan, toleransi dan sifat belas ihsan, serta tidak menjadikan perbezaan politik, kaum atau agama sebagai alasan untuk memecahbelahkan rakyat,” titahnya.
Baginda bertitah, mengibarkan ribuan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan adalah mudah, namun tugas yang jauh lebih besar ialah membina sebuah Malaysia yang rakyat daripada setiap kaum, agama dan latar belakang benar-benar berasa dihormati, diterima dan bangga menjadi rakyat Malaysia.
Baginda turut mengingatkan bahawa Jalur Gemilang tidak pernah membezakan bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Iban atau mana-mana kaum, selain tidak membezakan Muslim, Buddha, Kristian, Hindu atau apa jua kepercayaan.
Justeru, Baginda menyeru seluruh rakyat supaya menjadikan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia sebagai kesempatan untuk memperkukuh semula semangat perpaduan, solidariti dan rasa saling hormat-menghormati.
“Kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan dan bendera bukan sekadar untuk dikibarkan. Nilai sebenar kedua-duanya terletak pada kemampuan kita semua mempertahankan sebuah negara yang rakyatnya dapat hidup bersama dalam aman, saling menghormati dan bersatu padu,” titah baginda lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








