Warga emas maut dipijak gajah di Lahad Datu
LAHAD DATU – Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai dipijak seekor gajah liar dalam kejadian di Ladang Begahak 2, Jalan Tungku, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 69 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah termasuk patah tulang kaki betis dan tulang rusuk.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama anak lelakinya berusia 38 tahun sedang menutup pagar kebun sebelum pulang dari kawasan ladang kelapa sawit berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati haiwan berkenaan muncul secara tiba-tiba sebelum menyerang kedua-dua mangsa.
“Akibat serangan itu, mangsa tidak sempat melarikan diri sebelum dipijak oleh gajah berkenaan, manakala anaknya berjaya menyelamatkan diri.
“Anak mangsa turut menjerit meminta bantuan dan cuba mengalih perhatian gajah itu sebelum haiwan itu beredar dari lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selepas keadaan kembali selamat, anak mangsa membawa bapanya ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik tiba di hospital,” katanya lagi.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati gajah terbabit adalah gajah tunggal dan tidak bergerak secara berkumpulan.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat di Balai Polis Tungku atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







