KBS kenal pasti 132 atlet SUKMA berpotensi ke Sukan SEA 2027
KUALA LUMPUR – Seramai 132 atlet dikenal pasti berpotensi untuk dipertimbangkan menyertai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 susulan prestasi yang ditampilkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dalam kenyataan hari ini berkata, jumlah berkenaan terdiri daripada 59 atlet lelaki dan 73 wanita yang dikenal pasti berdasarkan penilaian awal sepanjang temasya yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos lalu.
Katanya, atlet terbabit akan terus dipantau dan dinilai berdasarkan prestasi semasa, konsistensi, kecergasan, status kecederaan, prestasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta keperluan setiap acara.
“SUKMA XXII Selangor 2026 turut membuktikan temasya itu bukan sahaja menjadi medan persaingan atlet muda terbaik negara, malah berperanan sebagai platform penting untuk mengenal pasti, mencungkil dan membangunkan bakat baharu bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan sukan negara,” katanya.
Menurut Mohammed Taufiq, pencapaian atlet di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) pada SUKMA kali ini turut amat membanggakan apabila 372 atlet daripada Program Podium, Pelapis dan Podium Berfasa menyumbang keseluruhan 373 pingat, terdiri daripada 180 emas, 99 perak dan 94 gangsa.
Secara keseluruhan, sebanyak 37 rekod baharu SUKMA dicatat pada temasya kali ini, dengan 14 daripadanya dipecahkan atlet di bawah program MSN, merangkumi enam rekod olahraga, tiga rekod memanah dan lima rekod renang.
Antara atlet yang menyerlah ialah perenang bawah Program Pelapis, Shannon Yan-Qing Tan yang memenangi lapan pingat emas, manakala atlet Program Podium, Muhammad Dhuha meraih lima pingat emas.
Atlet lain seperti Elvis Priestly Clement, Nur Elisha Rania, Adania Redzwan, Cadence The Zi Qi dan Danish Iftikhar turut mempamerkan prestasi cemerlang.
Selain itu, seramai 1,975 atlet yang dikenal pasti menerusi Program Bakat, Program Pembangunan Sukan Olimpik dan Program Khas MSN menyertai SUKMA kali ini, dengan 538 atlet berjaya menyumbang pingat kepada kontinjen negeri masing-masing.
Mohammed Taufiq berkata, pencapaian itu menunjukkan program pembangunan atlet MSN terus memberikan impak positif sebagai satu rantaian pembangunan sukan berterusan, bermula daripada pengenalpastian bakat, pembangunan atlet pelapis sehingga ke program prestasi tinggi negara.
Selangor muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, diikuti Wilayah Persekutuan dan Terengganu masing-masing di tempat kedua dan ketiga keseluruhan.
Pada masa sama, Mohammed Taufiq berkata, KBS turut mengucapkan tahniah kepada pasukan berbasikal trek Terengganu serta perenang Selangor, Eliza Ai Shen Tan, yang berjaya memperbaharui rekod kebangsaan pada temasya berkenaan.
Pasukan berbasikal trek Terengganu yang dianggotai Nur Aieris Madhiah, Dahlia Hazwani, Ameera Alya dan Nur Aierin Wadhiah mencatat rekod baharu kebangsaan dengan masa 4 minit 42.878 saat.
Eliza Tan pula memperbaharui rekod kebangsaan acara 100 meter gaya bebas wanita sebanyak dua kali, iaitu pada peringkat saingan dan final, dengan catatan masa 56.78 saat untuk merangkul pingat emas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








