KBS salur geran bantuan RM300,000 kepada atlet profesional negara
KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menyalurkan geran bantuan sebanyak RM300,000 kepada empat atlet profesional negara yang akan mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik Paris 2024.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, geran bantuan tersebut adalah inisiatif kementerian untuk meringankan beban atlet profesional negara.
“Bantuan ini akan digunakan untuk menyertai beberapa kejohanan kelayakan, kejohanan pendedahan, kem latihan, rakan sepelatih dan perkhidmatan sokongan. Semua ini adalah demi memastikan persiapan serta latihan mereka dalam keadaan optimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, ia adalah komitmen KBS untuk membantu setiap atlet yang membawa bendera Malaysia ke pentas dunia.
“Mereka bukan sahaja akan menerima perkhidmatan daripada pasukan Institut Sukan Negara (ISN) tetapi juga bantuan kewangan daripada kerajaan.
“Kami mahu setiap atlet tahu mereka pergi dengan sokongan penuh kerajaan dan seluruh negara,” katanya.
Menurut beliau, geran tersebut disalurkan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persiapan atlet menghadapi temasya sukan terbesar dunia itu.
Dalam pada itu, empat atlet yang menerima geran bantuan tersebut ialah Gavin Kyle Green dan Ashley Lau Jen Wen dari sukan golf, serta Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei dari sukan badminton.

Sementara itu, sukan golf di Olimpik Paris 2024 dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 10 Ogos, manakala pertandingan badminton akan diadakan dari 27 Julai hingga 5 Ogos.
KBS juga berharap bantuan tambahan itu akan membantu barisan atlet memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan terbaik mereka apabila bersaing untuk kejayaan di Paris nanti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








