KBS harap peruntukan RTG diteruskan dalam Belanjawan 2026
SEPANG – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap peruntukan bagi program Road To Gold (RTG) diteruskan dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Jumaat ini, sekali gus memastikan kesinambungan pembangunan atlet berprestasi tinggi negara.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, langkah itu penting bagi memastikan atlet negara terus mampu bersaing di peringkat tertinggi termasuk sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Los Angeles 2028.
Beliau memaklumkan, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) bagi membentangkan senarai penuh keperluan dan keutamaan KBS untuk tahun depan, termasuk tumpuan terhadap pembangunan atlet, komuniti sukan dan belia luar bandar.
“Semua permintaan KBS sudah dibentangkan kepada Kementerian Kewangan dan semestinya kami berharap semuanya dapat ditunaikan.
“Kami juga faham Kementerian Kewangan menerima banyak permintaan daripada semua kementerian, sebab itu kami senaraikan keutamaan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyambut kepulangan skuad olahraga para negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Mengulas lanjut mengenai inisiatif RTG, Hannah menegaskan program itu amat penting untuk diteruskan kerana menjadi tonggak utama pembangunan sukan berprestasi tinggi negara.
“Untuk bajet RTG, kami berharap dapat meneruskan bantuan itu. Kita mahu memastikan atlet elit kekal bersaing dan dalam masa sama wujud kumpulan pelapis yang kuat, termasuk bagi atlet para.
“Seperti yang kita lihat pada kejayaan atlet para baru-baru ini, kita memerlukan bajet tambahan untuk menyediakan pelapis kerana ramai atlet senior seperti Ziyad Zolkefli sudah berada di peringkat matang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








