Belanjawan 2026: Dorong ATM terus teguh mendepani cabaran baharu
KUALA LUMPUR – Belanjawan MADANI 2026 akan menjadi faktor pendorong Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terus berdiri gagah dalam mendepani cabaran keselamatan semasa dan masa hadapan seiring dengan komitmen kerajaan memperkukuh pertahanan negara dan kebajikan warganya.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, ATM menyambut baik dan menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Belanjawan 2026 semalam yang dilihat membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan strategik pertahanan negara.
Bagi tahun 2026, Kementerian Pertahanan dan ATM menerima peruntukan sebanyak RM21.74 bilion meningkat kira-kira 2.92 peratus berbanding RM21.13 bilion pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah tersebut, RM14.11 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (OE) manakala RM7.63 bilion bagi perbelanjaan pembangunan (DE).
“Belanjawan MADANI ini merupakan pertimbangan yang bernas dan seimbang dalam memastikan angkatan keramat ini kekal teguh di atas platform pemodenan ketenteraan dan kelestarian kebajikan keluarga anggota,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, peruntukan tersebut juga mencerminkan kesinambungan komitmen Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri yang sentiasa menitikberatkan aspek peningkatan keupayaan, pembangunan infrastruktur serta penjagaan kebajikan warga ATM.
“ATM akan terus melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan segala hasrat dan keutamaan yang digariskan dalam Belanjawan 2026 dicapai dengan berkesan.
“Ia sekali gus memperkukuhkan keselamatan persempadanan negara, memantapkan hubungan pertahanan antarabangsa dan menjamin kedaulatan Malaysia terus terpelihara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








