BERITA SEMASA

Belanjawan 2026: 80,000 pembeli rumah pertama baharu ditawar jaminan SJKP

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seramai 80,000 pembeli rumah pertama baharu ditawarkan jaminan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sehingga RM20 bilion berbanding RM10 bilion bagi meneruskan pembinaan kediaman rakyat.

Perdana Menteri berkata, kemudahan itu diberikan kepada kakitangan kontrak yang sukar mendapat pinjaman perumahan pertama.

“SJKP akan menjamin pinjaman sehingga 120 peratus dengan nilai keseluruhan RM1 bilion.

“BSN menyediakan 500 juta ringgit untuk membiayai pinjaman rumah pertama penjawat awam kontrak. Ini bakal memanfaat kakitangan kontrak termasuk guru Tabika dan Taska KEMAS” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2026 petang ini.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 48, 000 penjawat awam muda di bawah umur 30 tahun layak memohon Skim Pembiayaan Perumahan Muda di bawah LPPSA yang akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026.

Beliau berkata, had kelayakan maksimum pembiayaan LPPSA akan dinaikkan sehingga RM1 juta selaras dengan pelarasan gaji dan peningkatan harga pasaran hartanah.

“Susulan kenaikan ini, pembiayaan kali kedua dipermudah tanpa perlu menyelesaikan pembiayaan pertama tertakluk kepada had kelayakan baki pembiayaan. Ini akan diperkenalkan seawal suku keempat 2026,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, hampir RM2.2 bilion disediakan bagi membina, menyelenggara dan membaiki kuarters termasuk doktor, jururawat, tentera, polis, guru, bomba dan penjara.

Beliau berkata, Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang akan dibina untuk manfaat hampir 800 anggota tentera dengan kos RM500 juta.

“Kerajaan juga akan memperoleh rumah untuk dijadikan kuarters kepada anggota ESSCOM di Lahad Datu, Sabah;122 anggota imigresen di Lipis, Pahang dan imigresen Kuala Lumpur,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button