BERITA SEMASA

Warga ATM zahir penghargaan kepada MINDEF, PERHEBAT atas inisiatif sediakan kerjaya kedua

SUNGAI BULOH – Anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjaya ditauliahkan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Latihan Peralihan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan kerana komitmen yang ditunjukkan dalam pembangunan modal insan dan sosioekonomi warga ATM.

Salah seorang anggota ATM, Koperal Kumaresan Arumugam menyifatkan dukungan yang tidak berbelah bahagi diberikan Kementerian Pertahanan dan PERHEBAT membuatkan beliau lebih bersemangat untuk mengembangkan perniagaan ternakannya.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan, ATM dan PERHEBAT serta pegawai-pegawai saya yang telah membantu dan beri sokongan kerana tanpa mereka saya mungkin tidak berjaya dalam bidang penternakan,” kata anak kelahiran Linggi, Negeri Sembilan itu.

Koperal Kumaresan Arumugam mengikuti kursus Usahawan PKS Agrotani (USAHAWANTANI PUTRA-PERHEBAT) bersama Universiti Putra Malaysia (UPM). – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Selain itu, beliau yang telah berkhidmat 21 tahun di Kem Sungai Besi berkata, pihaknya juga sedia untuk bekerjasama dengan PERHEBAT menerusi program-program latihan untuk bakal pesara dan veteran.

“Pihak kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan PERHEBAT, terutamanya dalam bidang penternakan, ladang kami sedia menerima kunjungan daripada wakil PERHEBAT,” ujarnya yang telah berjaya menamatkan kursus Usahawan PKS Agrotani (USAHAWANTANI PUTRA-PERHEBAT) bersama Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil PERHEBAT di Kompleks PERHEBAT, Kem Sungai Buloh, di sini, semalam yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin dan Pengerusi PERHEBAT, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Pemangku Ketua Pengarah PERHEBAT, Kapten (B) Mohd Radzi Mohd Ali TUDM.

Dalam majlis yang sama, 181 anggota dan veteran ATM dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia dan 247 bakal pesara ATM ditauliahkan Sijil Latihan Peralihan.

Untuk rekod, PERHEBAT dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah melaksanakan Program Recognition of Prior Experiential Learning atau RPEL yang menyediakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).

Leftenan Kolonel Noorazam Baharoom berjaya menamatkan kursus Diploma Pengurusan Operasi Sekuriti. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Selain itu, Leftenan Kolonel, Noorazam Baharoom berkata, walaupun sudah berkhidmat selama 33 tahun, ia bukan penghalang buat beliau untuk mengikuti program Diploma Pengurusan Operasi Sekuriti.

Jelas beliau yang kini bertugas di Rejimen 515 Askar Wataniah, ilmu dan bimbingan yang diberikan oleh tenaga pengajar mampu menjadi bekalan buat beliau yang dijangka bersara pada 2028.

“Saya menyarankan agar semua anggota atau pegawai mengambil kursus ini atau kursus- kursus lain yang ada di PERHEBAT agar dapat bantu mereka selepas bersara kelak,” katanya.

Kolonel Bersara Datuk Zulkifli Jaafar berjaya menamatkan kursus Penyeliaan Perlindungan Rapat. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Dalam pada itu, bagi Kolonel (B) Datuk Zulkifli Jaafar pula, pengalaman mengikuti pengajian yang ditawarkan di PERHEBAT telah membuka peluang buat semua veteran bukan sahaja untuk mempunyai kerjaya kedua, malah mereka juga dapat memajukan diri pada masa akan datang.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih terutamanya kepada PERHEBAT, ATM dan Kementerian Pertahanan kerana memberi peluang kepada kami veteran-veteran untuk menyambung pembelajaran mencari ilmu dalam apa jua bidang yang disediakan oleh PERHEBAT,” katanya.

Bintara Kanan TNL Siti Mariam Abdul Rahim berjaya menamatkan kursus Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Tidak ketinggalan, Bintara Kanan TNL Siti Mariam Abdul Rahim berkata, ilmu yang diperoleh sepanjang mengikuti kursus Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di PERHEBAT telah digunakan sebaiknya buat beliau memulakan perniagaannya sendiri.

“Saya ambil bidang Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ni banyak mengajar saya tentang strategi pemasaran dan perniagaan, macam mana kita nak menjana pendapatan untuk kita berada di dunia awam.

“Sekarang saya berniaga kopi Ais Hitam Manis dan saya juga buat bisnes ‘Vidax Covers’ tudung yang saya pakai sekarang ini saya buat sendiri,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button