BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Perpaduan ASEAN kunci hadapi cabaran global – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru negara-negara anggota ASEAN dan rakan dialog agar memperkukuh perpaduan serta komitmen bersama dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau dan global yang semakin kompleks.

Berucap pada pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) ke-12 di Kuala Lumpur hari ini, beliau menegaskan bahawa kerjasama erat dan semangat saling mempercayai antara negara adalah benteng utama bagi memastikan kestabilan dan keamanan rantau ini.

“ADMM-Plus adalah bukti bahawa dialog berfungsi, kepercayaan boleh dibina dan perpaduan kekal sebagai pertahanan terbesar ASEAN,” katanya dalam ucapannya sempena ulang tahun ke-15 penubuhan forum keselamatan berkenaan.

Dengan tema “ASEAN Unity for Security and Prosperity”, mesyuarat kali ini memberi tumpuan kepada keperluan memperkukuh mekanisme serantau dalam menangani ancaman rentas sempadan seperti serangan siber, perubahan iklim, ketidakjaminan makanan dan pandemik.

Khaled turut menegaskan pentingnya semua negara tidak kira besar atau kecil, menegakkan undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan termasuk mengecam pelanggaran hak asasi manusia seperti yang berlaku di Gaza.

Malaysia katanya, kekal konsisten menyokong penyelesaian damai dan menolak penggunaan penderitaan sebagai senjata perang.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN serta menghargai kehadiran Menteri Pertahanan Indonesia, Jeneral Sjafrie Sjamsoeddin dan Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi dalam mesyuarat tersebut.

Mengakhiri ucapannya, Khaled menyeru agar ADMM-Plus terus berkembang sebagai platform yang dinamik dan responsif berlandaskan prinsip ASEAN iaitu dialog berbanding perpecahan, kerjasama berbanding persaingan dan kepercayaan berbanding ketegangan.

“Marilah kita bersama-sama membina masa depan yang lebih selamat dan sejahtera dengan mengekalkan perpaduan serta semangat ASEAN sebagai tunjang kekuatan kita,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button