BERITA SEMASA

Malaysia guna saluran diplomatik selesaikan isu pembekalan peluru berpandu NSM

CYBERJAYA – Kerajaan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik bagi menyelesaikan isu pembekalan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) melibatkan syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) dari Norway.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, pihaknya turut mengambil perhatian terhadap perubahan pendirian Kerajaan Norway berkaitan kelulusan eksport pertahanan yang memberi kesan kepada pelaksanaan kontrak berkenaan.

BACA JUGA:
Norway larang, batal kontrak bekal NSM ke Malaysia?

“Untuk makluman, Kementerian Pertahanan sememangnya mempunyai kontrak perolehan dengan pihak KDA bagi pembekalan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) untuk melengkapkan keupayaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik dengan Kerajaan Norway bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta membincangkan langkah yang sewajarnya demi menjaga kepentingan negara,” kata Khaled dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Terdahulu, sebuah portal pertahanan yang memetik sumber melaporkan, Norway melarang penghantaran peluru berpandu ke Malaysia.

Difahamkan, larangan itu sekaligus membatalkan kontrak pembekalan dan penghantaran yang dimeterai pada tahun 2018 dan kontrak pembekalan dua lagi pelancar NSM yang diumumkan pada LIMA 2025.

Tindakan itu dipercayai susulan undang-undang baharu Norway berkaitan urus niaga senjata yang melarang penghantaran senjata canggih kepada negara bukan NATO, kecuali sekutu rapat tertentu.

Khaled seterusnya berkata, Kementerian Pertahanan akan terus memastikan kesiapsiagaan dan keperluan strategik pertahanan negara tidak terjejas, di samping mengekalkan hubungan dua hala Malaysia dan Norway yang telah sekian lama terjalin dengan baik.

“Sebarang tindakan susulan akan dibuat secara teliti dan berpandukan kepentingan strategik negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button