BERITA SEMASA

60 peratus veteran ATM berjaya dapat kerjaya kedua – Khaled Nordin

SUNGAI BULOH – Sebanyak 60 peratus daripada 6,851 veteran angkatan tentera Malaysia (ATM) yang terlibat program Latihan Peralihan dalam bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) dan keusahawanan 2023 berjaya mendapat kerjaya kedua.

Program anjuran Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) itu mencerminkan inisiatif Kementerian Pertahanan melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP) dalam membangunkan modal insan dan sosio ekonomi kepada bakal pesara dan veteran ATM.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif itu termasuk menyediakan anggota ATM yang bakal bersara dalam merancang dan mengatur perjalanan selepas tamat perkhidmatan dengan jayanya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) menghadiri Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) di Kompleks Perhebat di Kem Sungai Buloh, di sini, hari ini.- Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

“PERHEBAT merekodkan pencapaian memberangsangkan dengan kira-kira 60 peratus veteran kini telah mempunyai kerjaya kedua.

“Sekalipun pencapaian ini memberangsangkan, kita juga mesti meneliti dan memberi perhatian untuk memahami dengan lebih mendalam situasi dan faktor mengapa kira-kira 40 peratus veteran masih sedang dalam proses mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (Program Recognition of Prior Experiental Learning – RPEL) dan Sijil PERHEBAT di Kompleks PERHEBAT, di sini hari ini.

Majlis tersebut menyaksikan penyampaian Diploma Kemahiran Malaysia kepada 209 orang anggota dan veteran ATM manakala Sijil Latihan Peralihan kepada 338 bakal pesara ATM.

Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) di Kompleks Perhebat di Kem Sungai Buloh, di sini, hari ini.- Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Majlis turut menyaksikan pertukaran 8 Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERHEBAT dan syarikat swasta, institusi perbankan dan universiti tempatan.

Antara yang terlibat adalah Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, GIATMARA, GGS Global Sdn. Bhd. dan Bravo Energy Sdn. Bhd. bagi program latihan dan penempatan pekerjaan.

MoU bersama Affin Islamic Bank Bhd., Bank Muamalat Malaysia Bhd. dan Bank Simpanan Nasional pula bakal menyediakan latihan dan insentif perniagaan kepada veteran ATM.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa PERHEBAT mengambil pendekatan mengenal pasti pihak industri dan melakukan pelbagai usaha padanan pekerjaan secara berkesan dan meluas.

Katanya, perkara ini akan menjadi cara terbaik untuk menghubungkan golongan veteran dan bakal pesara ATM secara terus dengan pekerjaan yang berkualiti.

“Kementerian Pertahanan memberi jaminan akan memperkasakan dan memperhebatkan lagi usaha bagi memberi nilai tambah dan peluang kepada anggota dan veteran dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan meningkatkan kebolehpasaran mereka di dalam sektor pekerjaan.

“Sehubungan itu, PERHEBAT dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah melaksanakan Program Recognition of Prior Experiential Learning atau RPEL yang menyediakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM),” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Check Also
Close
Back to top button