
Pembangunan LCS1 ikut jadual
LUMUT – Pembangunan Kapal Tempur Pesisir yang pertama (LCS1) sedang berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika mengadakan kunjungan ke Limbungan Kapal Lumut Naval Shipyard (LUNAS), di sini hari ini.
“Kita gembira kerana LCS pertama telah menepati batu penanda (milestone) yang telah ditetapkan,” katanya ringkas.
Untuk rekod, LCS1 atau dikenali sebagai Maharaja Lela merupakan kapal pertama daripada 5 buah LCS untuk TLDM, dan telah diluncurkan ke air pada 23 Mei lalu.
Berdasarkan perancangan perbatuan terkini, LCS1 akan menjalani Harbour Acceptance Trial (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) pada penghujung Tahun 2024.
Berdasarkan perancangan ini, LCS1 dijangka akan dapat diserahkan kepada TLDM pada akhir 2026.
Kunjungan Mohamed Khaled hari ini merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja beliau ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini.
Terdahulu, bertempat di Serambi Markas Pemerintahan Armada Barat, Mohamed Khaled menyerahkan sumbangan caruman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada lima waris mangsa nahas helikopter TLDM terhempas di sini pada 23 April lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








