BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAAN

Program CIMIC erat hubungan tentera dengan masyarakat di Jugra

JUGRA – Semangat kerjasama dan ukhuwah antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat setempat terus diperkukuh menerusi Program Civil-Military Cooperation (CIMIC) sempena Hari Asyura yang dianjurkan di Pangkalan Udara Jugra bersama Kariah Masjid Permatang Pasir, di sini baru-baru ini.

Program itu dirasmikan oleh Komander Pangkalan Udara Jugra, Leftenan Kolonel Norisman Idris.

Norisman menyampaikan sumbangan buat golongan asnaf pada majlis tersebut.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu selaras dengan Pelan Strategik MINDEF 2022-2025 di bawah Teras Keempat: Pengukuhan Kerjasama Tentera dan Awam yang menyasarkan hubungan erat antara warga tentera dan komuniti setempat melalui aktiviti berimpak sosial dan berorientasikan kemasyarakatan.

“Program ini bukan sahaja menghidupkan amalan tradisi dan budaya Islam dalam komuniti tetapi turut memperkukuhkan imej positif ATM amnya dan TUDM khasnya di mata masyarakat.

“Lebih 120 warga PU Jugra terdiri daripada pegawai dan anggota dari MAREJ, PU Jugra dan PASKAU bersama 100 orang penduduk setempat, hadir memeriahkan program ini.

“Malah seramai 30 orang asnaf dari kariah setempat turut hadir untuk menerima sumbangan daripada pihak pangkalan,” menurut kenyataan itu di laman Facebook MINDEF.

Program seumpama ini mampu mengeratkan hubungan antara warga tentera dan penduduk setempat.

Kemuncak acara dimulakan dengan aktiviti penyediaan bubur Asyura secara bergotong-royong bersama ahli BAKAT dan penduduk kampung.

Suasana harmoni dan mesra jelas tergambar sepanjang program yang turut diserikan dengan majlis perasmian serta penyampaian sumbangan kepada orang asnaf dari kalangan kariah masjid.

Menurut pihak penganjur, program seumpama ini bukan sahaja mampu memperkukuhkan imej positif ATM di mata rakyat, malah menjadi penyambung ikatan antara warga tentera dan masyarakat.

“Program seumpama ini diharap dapat menjadi jambatan ukhuwah antara warga tentera dan masyarakat serta memperkukuhkan semangat kebersamaan demi kebaikan bersama,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button