Muhamad Norazlan dilantik sebagai Panglima Tentera Udara yang ke-21
SUBANG – Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dilantik sebagai Panglima Tentera Udara (PTU) yang baharu bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang menamatkan perkhidmatan hari ini.
Pelantikan Muhamad Norazlan yang sebelum ini merupakanTimbalan Panglima Tentera Udara sebagai PTU ke-21 disempurnakan dalam Upacara Serah Terima Tugas PTU di Pangkalan Udara Subang di sini.
Menurut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), upacara penuh istiadat ketenteraan itu disaksikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar.
Turut diadakan, katanya, Upacara Kenaikan Pangkat Muhamad Norazlan sebagai Jeneral dan Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Udara Ke-20.
“Muhamad Norazlan, 58, yang merupakan anak kelahiran Kota Tinggi, Johor menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi pada 1985 hingga 1987.
“Beliau kemudiannya memulakan latihan penerbangan di bawah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 1988 di Alor Setar.
“Muhamad Norazlan telah menerbangkan pelbagai jenis pesawat pejuang seperti Aermacchi MB3394, A4PTM Skyhawk, Mikoyan Guverich MIG29N/UB dan Sukhoi 30MKM sepanjang kerjayanya,” katanya.
Terdahulu perbarisan persaraan Mohd Asghar Khan telah dilaksanakan dengan penuh istiadat ketenteraan bertempat di Pangkalan Udara Subang.
Perbarisan itu adalah bertujuan sebagai penghargaan khas kepada beliau yang bakal menamatkan perkhidmatan setelah mencurahkan khidmat bakti serta jasa dan pengorbanan di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya di dalam perkhidmatan TUDM.
Turut diraikan bersama adalah isteri beliau, Datin Seri Bibi Nasratjahan Gulab Khan
Seramai 24 orang pegawai dan 403 anggota lain-lain pangkat diketuai oleh Leftenan Kolonel Muhd Faizal Abdul Rahim telah terlibat di dalam perbarisan yang bersejarah itu.
Perbarisan pada hari ini berkonsepkan Perbarisan Istiadat dengan penglibatan lapan panji iaitu Panji-Panji Rejimen TUDM, Panji-Panji Kolej Tentera Udara, Panji-Panji No 6 Skn, Panji-Panji No 10 Skn, Panji-Panji No 12 Skn, Panji-Panji No 16 Skn, Panji-Panji No 18 Skn dan Panji-Panji No 20 Skn bersama empat Skuadron Pengawal.
Istiadat perbarisan itu juga turut melibatkan dua buah pesawat SU-30MKM, tiga F/A-18 D, tiga C-130H , sebuah A400M, lima PC7 MKII dan empat buah pesawat helikopter jenis EC-725 AP bagi penugasan terbang lintas serta membuat formasi penerbangan di akhir istiadat perbarisan semasa tabik hormat yang diterima oleh Panglima Tentera Udara Ke-20.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








