
Jenazah Sarjan Faridah tiba di tanah air hari ini
KUALA LUMPUR – Jenazah anggota pasukan Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) yang meninggal dunia di Lubnan akan dibawa pulang untuk disemadikan di tanah air hari ini.
Menurut Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM), jenazah Sarjan Faridah Abd Rahman yang bertugas dalam Misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) akan dibawa pulang ke Malaysia menggunakan pesawat komersial.
“Penerbangan tersebut dijadualkan berlepas pada pukul 12.05 waktu Lubnan (5.05 petang waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Malaysia pada 24 Mei ini pada pukul 9.50 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak MALBATT 850-11 bersama bantuan Kedutaan Malaysia di Beirut telah menyelesaikan semua urusan dokumentasi dengan pihak berkuasa Lubnan serta UNIFIL.
Sehubungan itu, katanya, solat jenazah akan dilaksanakan di Pangkalan Udara Subang sebelum dibawa ke kampung halamannya di Pendang, Kedah.
Katanya, jenazah akan diterbangkan menggunakan pesawat angkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 25 Mei pada pukul 7 pagi.
“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al-Anwar, Kg Tengah, Mukim Tualang, Pokok Sena, Kedah,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, bedah siasat terhadap jenazah, dijalankan di Hospital Hammoud, Saida, Lubnan pada 19 Mei telah selesai pada pukul 7.45 petang waktu Malaysia.
Katanya, keputusan awal bedah siasat yang diperoleh mengesahkan bahawa jenazah meninggal dunia akibat serangan sakit jantung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








