BERITA SEMASA

[VIDEO] Program Ekonomi MADANI ATM: Memperkasa komuniti, menjana pendapatan dan kemahiran warga pertahanan

PROGRAM Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus membuktikan keberkesanannya sebagai pemangkin peningkatan sosioekonomi warga pertahanan apabila peruntukan RM10 juta yang diterima tahun ini berjaya diterjemahkan kepada puluhan projek berimpak tinggi di seluruh negara.

Daripada projek ternakan lebah kelulut, tanaman hidroponik dan aeroponik hingga cendawan segar, pelbagai inisiatif dijayakan oleh ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dengan sokongan institusi pengajian tinggi (IPT) dan rakan industri.

Ekonomi MADANI ATM
Laksamana Pertama Mohd Amin ketika meninjau projek ternakan kelulut di Kem Perdana Sungai Besi.

Ketua Pengarah Khidmat Sumber Manusia, Markas ATM, Laksamana Pertama Mohd Amin Mat Tahir (TLDM) berkata, program ini bukan sekadar latihan tambahan tetapi strategi jangka panjang untuk membentuk ekosistem ekonomi yang mampan dalam komuniti tentera.

“Program Ekonomi MADANI ATM ini merupakan inisiatif strategik untuk memperkukuh kemampuan dan kesejahteraan warga pertahanan serta keluarga mereka.

“Ia dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan setiap ahli BAKAT mendapat ilmu, kemahiran dan peluang menjana pendapatan.

“Dengan penyertaan aktif peserta dan sokongan keluarga mereka, kami yakin program ini mampu mencapai impak jangka panjang,” kata beliau ketika ditemui Malaysia Tribune.

Menurut Mohd Amin, program tersebut dilaksanakan dengan empat fasa utama iaitu perancangan strategik, penyelarasan gerak kerja, pelaksanaan latihan serta pemantauan dan penambahbaikan.

Ekonomi MADANI ATM
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika merasmikan Program Ekonomi MADANI di Sandakan, Sabah.

“Struktur pelaksanaan ini mewujudkan ruang yang tersusun untuk proses pemindahan ilmu antara institusi IPTA dan komuniti kem tentera.

“Fasa pertama melibatkan perancangan dan libat urus bersama universiti awam serta Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) untuk memastikan projek yang dipilih sesuai dengan kapasiti kem dan potensi peserta.

“Fasa kedua menumpukan kepada latihan dan bimbingan di mana universiti menyediakan modul serta panduan berdasarkan kepakaran masing-masing.

“Pemantauan dan penambahbaikan menjadi fasa ketiga, di mana prestasi projek dinilai secara berterusan untuk menentukan intervensi yang diperlukan.

“Fasa terakhir adalah pemasaran produk yang dipasarkan melalui rakan strategik utama seperti Boustead Plantation Berhad dan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA),” jelas beliau.

Program Ekonomi MADANI ATM
Plak Program Ekonomi MADANI ATM bagi ternakan lebah kelulut dan Taman Herba di Kem Perdana Sungai Besi.

Tambahnya, setakat 2025, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menyalurkan peruntukan RM10 juta untuk pelaksanaan program ini di 60 kem seluruh negara.

“Secara keseluruhan, sebanyak 96 projek berjaya dilaksanakan dan 1,265 ahli BAKAT terlibat secara langsung.

“Antara projek yang menonjol adalah Projek Ternakan Lebah Kelulut di Kem Perdana Sungai Besi di mana hasil madu dan produk hiliran seperti lip balm dan sabun dijenamakan sebagai KELIO (Kelulut Tentera) oleh Boustead Plantation.

“Produk ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Program MADANI Rakyat di Melaka pada 19 Oktober,” jelasnya.

Ekonomi MADANI ATM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Melaka pada Oktober lalu.

Sementara itu, Projek Cendawan di Pangkalan Udara Butterworth yang diselia Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menjana pendapatan sehingga RM5,200 sebulan melalui jualan cendawan segar dan goreng.

Pengurus Projek Ternakan Lebah Kelulut Kem Perdana Sungai Besi, Leftenan Kolonel Norman Tay Abidin turut berkongsi pengalaman.

Ekonomi MADANI ATM
Leftenan Kolonel Norman menunjukkan salah satu log madu kelulut yang terdapat di Laman Kelulut Kem Perdana Sungai Besi.

“Projek ini bermula dengan kawasan yang mempunyai tumbuhan asal dan kawasan redup. Peserta menanam sendiri pokok akasia, air bunga pengantin serta pokok buah-buahan seperti limau dan bimbing besi.

“Pada awalnya, kawasan ini kosong dan memerlukan pembersihan menyeluruh. Log-log yang digunakan datang dari Kelantan dengan tambahan daripada pihak projek sendiri menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 60 log,” katanya.

Daripada segi pengurusan masa, peserta dibahagikan kepada pasukan mengikut sektor, dianggotai ahli BAKAT dan dibantu pasangan masing-masing.

“Cabaran terbesar yang kami hadapi adalah gangguan monyet yang merosakkan tumbuhan berbunga walaupun tidak merosakkan log madu kelulut.

“Oleh itu, kami berusaha mengatasinya melalui penjagaan berterusan setiap pagi dan petang serta penggiliran bagi memastikan sarang kelulut dan tanaman dijaga dengan baik,” ujarnya.

Ahli BAKAT Kem Perdana Sungai Besi, Nur Syuhada Mohamed Azli turut berkongsi keterujaannya.

Nur Syuhada
Nur Syuhada teruja kerana dapat membantu menambah pendapatan keluarga melalui projek ternakan kelulut Program Ekonomi MADANI ATM.

“Saya sangat gembira dapat terlibat dalam projek ini. Selain daripada tugasan harian sebagai surirumah, saya dapat meluangkan masa dengan anak-anak dan merasai pengalaman ternak madu kelulut sendiri.

“Ini sesuatu yang baru bagi saya dan walaupun pada awalnya ada rasa takut, pengalaman ini amat menyeronokkan,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa projek itu memberi peluang untuknya membantu suami, Sarjan Hazlan Khalid menambah pendapatan keluarga.

“Saya rasa seronok dapat membantu keluarga selain daripada menguruskan rumah tangga. Dengan projek ini, kami boleh meningkatkan pendapatan sampingan dan pada masa sama melibatkan anak-anak dalam aktiviti yang bermanfaat,” katanya yang mempunyai sepasang cahaya mata berusia tujuh dan lapan tahun.

Sementara itu, Pegawai Staff 1 Tadbir Cawangan Khidmat Sumber Manusia, Leftenan Kolonel Sazizi Mat Piah (TUDM) berkongsi dalam aspek perspektif pengurusan projek.

Ekonomi MADANI ATM
Leftenan Kolonel Sazizi yang bertanggungjawab menguruskan Sekretariat Program Ekonomi MADANI ATM merangkumi darat, laut dan udara.

“Pada asalnya agak mencabar kerana kita bermula dari kosong. Kami bekerjasama dengan semua perkhidmatan darat, laut, dan udara untuk menjayakan projek ini.

“Penyaluran dana dilakukan melalui universiti dan JPT. Alhamdulillah, kita berjaya menjalin kerjasama yang baik antara pihak universiti, JPT dan kem-kem terlibat,” katanya.

Tambah beliau, keberhasilan Program Ekonomi MADANI bukan sahaja diukur melalui jumlah projek atau pendapatan tetapi juga melalui pengalaman yang diperoleh peserta.

Projek pertanian seperti cendawan segar dan goreng telah menjana pendapatan sehingga RM5,200 pada bulan pertama.

Ekonomi MADANI ATM
Mohamed Khaled memeriksa projek cendawan yang diusahakan di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

“Projek madu kelulut masih dalam fasa awal tetapi dijangka menunjukkan hasil yang lebih ketara menjelang bulan Januari atau Februari.

“Selain itu, projek hidroponik seperti cendawan tiram telah mula memberikan hasil di beberapa lokasi, manakala projek lain masih dalam proses pemasangan,” jelasnya.

Apa yang pasti, program ini bukan sahaja memberi manfaat ekonomi tetapi juga mengeratkan kerjasama antara keluarga dan komuniti.

Mereka dapat mempelajari teknik pertanian dan penternakan yang berkesan, melibatkan anak-anak dalam aktiviti bermanfaat dan membina pengalaman baru yang memperkukuh semangat kejiranan serta disiplin kerja.

“Program Ekonomi MADANI ini memberi pengalaman baru kepada semua peserta. Mereka bukan sahaja belajar kemahiran baharu tetapi juga dapat meningkatkan pendapatan keluarga, menyemai kerjasama komuniti dan memperkukuh jaringan sosial di dalam kem,” ujar Mohd Amin.

Ekonomi MADANI ATM
Salah seorang peserta Program Ekonomi MADANI ATM yang merupakan ahli BAKAT memberi penerangan mengenai tanaman hidroponik kepada Mohamed Khaled.

Melihat kepada kejayaan setakat ini, ATM merancang untuk memperluaskan pelaksanaan Program Ekonomi MADANI ke lebih banyak kem di seluruh negara pada tahun 2026.

Penyertaan peserta akan ditambah supaya lebih ramai warga ATM menerima manfaat dengan liputan program yang lebih menyeluruh dan keberkesanan yang terus meningkat.

Secara keseluruhannya, Program Ekonomi MADANI ATM membuktikan bahawa integrasi latihan, sokongan keluarga dan peluang ekonomi mampu menghasilkan komuniti pertahanan yang dinamik, berdaya saing dan mampan.

Projek tersebut bukan sekadar menyokong aspirasi ekonomi negara tetapi juga memperkukuh ekosistem pertahanan melalui pembangunan manusia yang holistik dan berilmu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button