BERITA SEMASA

Kapal Tentera Laut AS singgah di Pulau Pinang bagi tujuan logistik

PUTRAJAYA – Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Terminal Kontena Utara Butterworth (NBCT), Pulau Pinang dari 14 hingga 16 Mac 2026 merupakan persinggahan sementara (port of call) bagi urusan logistik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, port of call oleh kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia bukanlah perkara baharu dan telah lama menjadi amalan dalam hubungan pertahanan serta pelayaran antarabangsa.

Ia merupakan sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan bagi meningkatkan keyakinan serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara.

“Tujuan utama port of call adalah bagi membolehkan kapal melaksanakan urusan logistik seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta peluang berehat untuk anak kapal sebelum meneruskan pelayaran ke destinasu,” kata kenyataan itu, hari ini.

Beliau turut berkata, Malaysia mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial atau pangkalan laut.

“Setiap permohonan untuk berlabuh di pelabuhan Malaysia perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Malaysia,” katanya lagi.

Beliau menambah, sepanjang 2025, Malaysia menerima sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui port of call, antaranya dari Australia, Bangladesh, Britain, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Singapura dan Amerika Syarikat.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kehadiran dua buah kapal Tentera Laut AS, USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16) di Pulau Pinang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button