BERITA SEMASA

Malaysia tubuh hospital medan bantu mangsa gempa bumi di Myanmar

SAGAING – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Operasi Bantuan Kemanusiaan menubuhkan sebuah Hospital Medan Malaysia (HMM) Tahap Dua di daerah Sagaing, Myanmar yang terjejas teruk akibat gempa bumi pada 28 Mac lalu.

Penubuhan HMM yang diuruskan menerusi Operasi STARLIGHT III itu membuktikan komitmen berterusan Malaysia dalam membantu negara yang dilanda bencana kemanusiaan.

Hospital Medan itu berkapasiti 20 katil dan dilengkapi pelbagai kemudahan penting termasuk wad, bilik pembedahan, unit rawatan rapi (ICU), makmal dan kemudahan radiologi.

Ia turut menyediakan dua kepakaran utama iaitu pembedahan am dan ortopedik.

Selain itu, HMM turut berkeupayaan melaksanakan pelbagai prosedur pembedahan secara serentak serta memberikan rawatan kritikal dan penjagaan pesakit secara menyeluruh.

Perkhidmatan klinik pesakit luar juga disediakan dengan jangkaan menerima antara 80 hingga 100 pesakit sehari dari kalangan penduduk setempat.

Turut membantu operasi HMM ialah tiga Pegawai Perubatan dari Hospital Sagaing yang digembleng tenaga bersama petugas perubatan Malaysia dalam usaha memulihkan keadaan kesihatan penduduk yang terjejas.

Usaha Malaysia telah mendapat penghargaan dan pengiktirafan tinggi daripada kerajaan Myanmar serta penduduk tempatan, yang menyifatkan bantuan tersebut sebagai simbol solidariti dan keprihatinan terhadap penderitaan mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button