BERITA SEMASADALAM NEGERI

800 kg air garam disembur, operasi pembenihan awan diperhebat TUDM

KUALA LUMPUR – Usaha meningkatkan paras air tujuh empangan yang kini berada pada tahap amaran dipergiat apabila kira-kira 800 kilogram (kg) campuran air garam disembur menerusi Operasi Pembenihan Awan (OPA) susulan cuaca panas dan kekurangan hujan sejak kebelakangan ini.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi berkenaan dilaksanakan menggunakan pesawat C-130H yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang.

Menurut kenyataan itu, misi OPA dijalankan secara berperingkat bermula 11 hingga 15 Februari melibatkan tiga negeri iaitu Johor, Kedah dan Perak.

“Operasi ini bertujuan membantu Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menangani masalah paras air empangan yang terjejas akibat cuaca panas berpanjangan.

“Di Johor, operasi melibatkan tiga empangan iaitu Upper Layang, Pulai 1 dan Machap,” menurut kenyataan itu.

Baca juga : [VIDEO] TUDM laksana pembenihan awan bantu atasi paras empangan kritikal

TUDM menjelaskan, OPA dimulakan dengan proses bancuhan air garam oleh METMalaysia bersama anggota TUDM melibatkan empat tong bancuhan, masing-masing mengandungi 500 liter air yang dicampur dengan 200 kg garam.

Proses pembenihan awan kemudiannya dilaksanakan pada ketinggian antara 1,524 meter hingga 2,743 meter membabitkan awan jenis Towering Cumulus yang berpotensi menghasilkan hujan.

Menurut TUDM, kerjasama tersebut memperlihatkan komitmen berterusan pasukan itu dalam melaksanakan Operasi Ketenteraan Selain Peperangan (MOOTW), selaras dengan fungsi sekunder Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu agensi kerajaan lain dalam pengurusan bencana serta operasi yang melibatkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button