BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

WOGOS kunci mantapkan pertahanan Malaysia – Khaled

KUANTAN – Malaysia kini berada dalam keadaan aman dan damai, namun ancaman keselamatan tetap wujud sama ada dalam bentuk tradisional atau bukan tradisional, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut Mohamed Khaled, meskipun negara mempunyai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang gagah dan berwibawa, kekuatan itu sahaja tidak mencukupi untuk menghadapi pelbagai cabaran keselamatan pada masa kini.

“Atas sebab itulah, kita perlu memastikan soal keselamatan dan pertahanan bukan hanya terletak di bahu ATM semata-mata, sebaliknya ia mesti dilaksanakan melalui pendekatan whole of government dan whole of society (WOGOS),” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC) sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-92 di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini.

Menurut beliau, Laut China Selatan walaupun kelihatan tenang dan aman tidak ada jaminan ia akan kekal begitu, malah ancaman bukan tradisional seperti perubahan cuaca dan ketidakcukupan makanan juga menuntut kesiapsiagaan negara.

Justeru, penganjuran CIMIC bukan sekadar persembahan atau pameran, sebaliknya berperanan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan pertahanan dan keselamatan negara.

“Melalui CIMIC, kita mahu rakyat memainkan peranan dengan mempunyai kefahaman serta kesedaran bagaimana mereka boleh menyumbang demi memastikan negara kita selamat, aman dan stabil.

“Sekurang-kurangnya, ia dapat menimbulkan minat menyertai ATM atau menceburkan diri dalam sukarelawan pertahanan, sekali gus menambah keyakinan terhadap keupayaan ATM,” jelasnya.

Mohamed Khaled turut menzahirkan penghargaan kepada Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara kerana menjayakan penganjuran CIMIC yang disifatkan berbeza serta lebih meriah berbanding sebelum ini.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat yang hadir beramai-ramai bagi menjayakan program tersebut kerana sokongan itu mampu menyuntik semangat warga ATM untuk terus menabur bakti kepada agama, bangsa dan tanah air.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button