KBS meterai kerjasama strategik perkasa Rakan Muda, manfaatkan golongan belia
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh agenda pembangunan belia menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan Foodpanda Malaysia, Grab Malaysia dan Gamuda Land Malaysia bagi memperluaskan pelaksanaan program Rakan Muda.

Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata, kerjasama strategik yang berkuat kuasa selama dua tahun bermula 13 April 2026 hingga 12 April 2028 itu bakal memberi manfaat kepada golongan belia serta memperkasakan inisiatif Rakan Muda yang telah diberi nafas baharu oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Menurut beliau, KBS sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada sektor swasta bagi memperkukuh pelaksanaan program di bawah inisiatif 10 Gaya Hidup Rakan Muda.
“MoU ini sangat penting kerana akan memberikan impak dan manfaat kepada anak-anak muda. Kita mahu memperkasakan lagi kolaborasi serta program-program di bawah Rakan Muda.

“Hari ini kita menyaksikan tiga syarikat tampil bekerjasama dan menandatangani MoU sebagai salah satu inisiatif untuk memperkukuh program Rakan Muda dan 10 Gaya Hidup Rakan Muda,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara JBSN dengan Foodpanda Malaysia, Grab Malaysia dan Gamuda Land Malaysia.
Taufiq berkata, antara bentuk kerjasama yang dipersetujui termasuk penggunaan logo kedua-dua pihak di platform promosi masing-masing serta pelbagai insentif kepada peserta program Rakan Muda.
Menurutnya, Foodpanda Malaysia menawarkan diskaun kepada pelanggan yang menyertai program Rakan Muda, manakala Grab Malaysia menyediakan yuran langganan percuma selama dua bulan pertama bagi ahli baharu Grab Unlimited serta subsidi 60 peratus untuk yuran langganan bulanan.
“Gamuda Land pula menawarkan kadar istimewa kepada peserta untuk menyertai pelbagai aktiviti di GL Play dan program-program berkaitan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak lebih banyak syarikat dan organisasi tampil menjalin kerjasama bagi memperluaskan manfaat program berkenaan kepada golongan belia di seluruh negara.
Menurutnya, KBS kini giat melaksanakan program mega Rakan Muda di peringkat kebangsaan dan negeri sebagai usaha memperluas penyertaan anak muda dalam aktiviti pembangunan diri dan komuniti.
“Pada 7 Jun ini, Himpunan Rakan Muda Madani peringkat Negeri Kedah akan diadakan di Sungai Petani dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi.
Mengulas mengenai sokongan kepada pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, Taufiq berkata, KBS akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan atlet bermula dari peringkat akar umbi.
Beliau berkata, kementerian itu bersama Sepang International Circuit (SIC) telah melaksanakan pelbagai program pembangunan termasuk inisiatif Impian ke MotoGP bagi melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf antarabangsa.
“Kita sentiasa menyokong semua sukan di Malaysia dan fokus utama adalah pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
“Yang paling penting ialah membina atlet baharu dan melahirkan lebih ramai atlet seperti Hakim Danish pada masa hadapan,” katanya lagi.
Menurut beliau, SIC telah menerima geran padanan sukan sebanyak RM800,000 manakala SIC sendiri menyalurkan RM1 juta bagi pembangunan program sukan motosikal tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan dana sebanyak RM1.8 juta.
Taufiq berkata, sebarang cadangan penambahan bantuan kepada Hakim Danish akan terus dibincangkan dan dinilai berdasarkan keperluan semasa serta keutamaan peruntukan yang melibatkan temasya besar seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA.
“Kita sentiasa terbuka untuk berbincang dan akan cuba sedaya upaya memberikan sokongan serta dorongan kepada atlet yang mempunyai potensi besar untuk mengharumkan nama negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








