SUKAN

Cadangan anjur dwitahunan F1 Malaysia-Singapura tidak realistik – Mokhzani

SEPANG – Cadangan supaya Malaysia menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) secara dwitahunan bersama Singapura disifatkan tidak realistik kerana kedua-dua negara perlu mempunyai komitmen penganjuran secara tetap.

Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, Singapura juga dijangka tidak bersetuju untuk berkongsi giliran penganjuran F1 dengan Malaysia kerana negara itu mempunyai kepentingan tersendiri terhadap perlumbaan berkenaan.

Beliau berkata, penganjuran F1 turut memerlukan negara terlibat menandatangani kontrak jangka panjang, lazimnya selama lima tahun, bersama pemilik perlumbaan berkenaan.

“Saya rasa Singapura tidak akan melepaskan peluang untuk menganjurkan Formula Satu, jadi nak buat secara berselang-seli dengan Malaysia, bagi saya tidak mungkin berlaku. Sebelum ini pun kita tidak pernah bergilir-gilir.

“Suasana juga berbeza kerana mereka perlumbaan malam, manakala kita petang. Jika peminat Formula Satu boleh datang ke sini, mereka juga boleh pergi ke Singapura,” katanya ketika ditemui di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Sebagai rekod, Malaysia kini menjadi tuan rumah perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain di SIC susulan ketegangan politik yang berlaku di rantau Asia Barat.

Mokhzani yang juga bekas Pengerusi SIC berkata, sekiranya perlumbaan GP Malaysia kembali dianjurkan pada masa depan, beliau berharap ia dilakukan sebagai perlumbaan tetap dan bukan sekadar menggantikan perlumbaan di negara lain.

“Situasi kita kali ini unik kerana keadaan di Asia Barat tidak mengizinkan perlumbaan Formula Satu diadakan, jadi kita dapat peluang itu. Kita tidak mahu ia kekal begitu kerana itu menunjukkan situasi di tempat lain tidak selamat.

“Kebiasaannya, kontrak menganjurkan Formula Satu adalah secara 3+2, iaitu lima tahun supaya senang untuk kita buat perancangan. Bagi saya, SIC sentiasa bersedia untuk menganjurkan perlumbaan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button