BERITA SEMASAPMX

Keputusan perlumbaan F1 di Malaysia bakal diumum esok – PM

SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu pengumuman penting berkaitan perlumbaan Formula Satu (F1) di Malaysia akan dibuat esok.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan bentuk pengumuman tersebut atau mendedahkan sebarang butiran lanjut.

“F1 itu kita akan umumkan hari Ahad nanti,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin, di sini hari ini.

Kenyataan ringkas itu sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan F1 selepas kali terakhir menganjurkannya pada 2017.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dilaporkan berkata, kementeriannya sedang mengadakan perbincangan dan menilai kemungkinan perlumbaan F1 kembali berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Menurut beliau, usaha itu dibuat susulan maklumat awal yang menunjukkan Malaysia berpotensi menjadi tuan rumah perlumbaan gantian sekiranya Grand Prix Bahrain tidak dapat diteruskan.

Katanya, Perdana Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah dimaklumkan mengenai cadangan tersebut, manakala keputusan lanjut akan diumumkan selepas semua pertimbangan dimuktamadkan.

Malaysia menganjurkan Grand Prix F1 selama 19 tahun berturut-turut sebelum perlumbaan terakhir berlangsung di SIC pada 2017.

Meskipun begitu, litar berkenaan masih memiliki lesen Gred 1 daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), sekali gus memenuhi syarat untuk menganjurkan perlumbaan Formula Satu.

Pada 2024, Petronas yang juga rakan kongsi pasukan Mercedes F1 pernah dikaitkan dengan laporan bahawa syarikat itu merancang membawa semula perlumbaan F1 ke Malaysia pada 2026, namun dakwaan tersebut kemudian dinafikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button