SUKAN

F1 berpotensi kembali ke Sepang, kerajaan teliti cadangan ganti GP Bahrain

KUALA LUMPUR – Perlumbaan Formula Satu (F1) berpotensi kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas kerajaan mengesahkan telah menerima makluman awal mengenai cadangan menganjurkan perlumbaan itu sebagai pengganti Grand Prix (GP) Bahrain.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah dimaklumkan mengenai cadangan tersebut, namun penelitian lanjut sedang dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Perdana Menteri dan KBS telah menerima makluman awal mengenai kemungkinan penganjuran perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang bagi menggantikan perlumbaan F1 Bahrain.

“Sehubungan itu, perbincangan serta penelitian oleh pihak KBS sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KBS kekal komited menyokong pembangunan sukan negara, termasuk sukan permotoran dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas keputusan dimuktamadkan.

Difahamkan, Malaysia kini antara calon yang dipertimbangkan sebagai tuan rumah pengganti sekiranya GP Bahrain tidak dapat dianjurkan mengikut jadual berikutan konflik yang berterusan di Asia Barat.

Selain Sepang, beberapa litar lain turut dikatakan menawarkan diri sebagai venue pengganti.

Bagaimanapun, SIC dilihat mempunyai kelebihan dari segi logistik, kemudahan bertaraf dunia serta rekod cemerlang sebagai penganjur perlumbaan F1 selama hampir dua dekad.

Malaysia kali terakhir menganjurkan perlumbaan F1 pada 1 Oktober 2017 sebelum saingan itu dihentikan. Perlumbaan edisi terakhir tersebut dimenangi pelumba Red Bull, Max Verstappen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button