JPN Selangor beri kerjasama penuh siasatan kes pergaduhan pelajar, tindakan tegas menanti jika bersalah
SHAH ALAM – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan pelajar yang tular dan dilaporkan media baru-baru ini.
Dalam kenyataan hari ini, JPN Selangor memaklumkan pihaknya mengambil serius kejadian berkenaan dan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku keganasan melibatkan warga pendidikan di negeri itu.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati bersalah.
“Pada masa yang sama, intervensi bimbingan dan kaunseling turut dilaksanakan kepada murid yang terlibat,” katanya.
JPN Selangor turut menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan berkaitan insiden berkenaan.
“Perbuatan menyebarkan identiti kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam kes ini adalah salah di bawah peruntukan undang-undang,” tegasnya.
Terdahulu, media melaporkan beberapa individu ditahan selepas seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dan bapanya didakwa dipukul di hadapan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seri Kembangan pada 3 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad dilaporkan berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.45 tengah hari ketika mangsa sedang menuju ke motosikalnya di luar kawasan sekolah sebelum dipanggil oleh beberapa pelajar sekolah sama.
Mangsa kemudian didakwa dikepung dan dipukul oleh sekumpulan suspek sehingga mengalami kecederaan pada bibir, lutut serta lebam di seluruh badan.
Bapa mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan itu turut dipukul sehingga terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan pada tangan serta kaki.
Susulan itu, polis menahan beberapa individu bagi membantu siasatan dan membawa mereka ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















