PAPUH Muslim Travel Fair 2026 tawar pakej umrah terjamin
SHAH ALAM – Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) memberi jaminan semua pakej umrah yang ditawarkan sempena PAPUH Muslim Travel Fair 2026 adalah telus, realistik dan berlesen.
Karnival yang akan berlangsung di Kompleks PKNS Shah Alam bermula dari 31 Julai hingga 2 Ogos itu menawarkan pelbagai promosi eksklusif, sesi konsultasi, forum, cabutan bertuah serta peluang kepada orang ramai membuat tempahan terus dengan agensi umrah yang berdaftar.
Timbalan Presiden PAPUH, Dr. Fathir Alhadad Badri berkata, pameran itu menghimpunkan syarikat yang memenuhi syarat keahlian PAPUH bagi memastikan setiap pakej yang ditawarkan mampu dilaksanakan tanpa menjejaskan kebajikan jemaah.
Menurutnya, sehingga kini 56 syarikat mengesahkan penyertaan, dengan 52 daripadanya menawarkan pakej umrah, manakala selebihnya terdiri daripada institusi kewangan, syarikat penerbangan dan penyedia perkhidmatan pelancongan.
“Kami tidak menjanjikan diskaun melampau seperti yang sering dipromosikan di tempat lain. Sebaliknya, kami menawarkan pakej yang telus, realistik dan boleh dilaksanakan oleh agensi berlesen,” katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran PAPUH Muslim Travel Fair 2026, baru-baru ini.
Beliau berkata, sebanyak 76 gerai telah ditempah daripada sasaran awal 100 gerai, namun pihak penganjur bersedia menambah kapasiti sehingga 120 gerai sekiranya permintaan terus meningkat.
Sementara itu, Exco dan Naib Presiden Muasassah Umrah dan Haji PAPUH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Muhammad Mursyid Abu Hassan, mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pakej umrah pada harga yang terlalu murah dan tidak munasabah.

Katanya, kos sebenar perjalanan, khususnya pada musim puncak, menjadikan pakej lengkap pada harga terlalu rendah sukar direalisasikan.
“Harga tiket penerbangan sahaja kini sekitar RM3,600 hingga RM4,000. Jadi, jika ada pakej umrah lengkap dijual pada harga RM3,000 atau RM4,000, pengguna perlu bertanya bagaimana ia boleh dilaksanakan kerana ia tidak logik,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan kes jemaah terkandas sebelum ini berpunca daripada pakej yang dijual terlalu murah sehingga syarikat gagal menyediakan tiket penerbangan atau kemudahan seperti dijanjikan.
“Saya tidak mengatakan semua pakej murah itu bermasalah, tetapi jika harganya terlalu rendah sehingga tidak masuk akal, ia wajar dijadikan tanda amaran. Semak latar belakang agensi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang bayaran,” tegasnya.
Menurut beliau, media juga mempunyai peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat supaya memilih agensi umrah yang memiliki lesen sah dan rekod operasi yang baik, bukan semata-mata tertarik dengan tawaran harga murah.
Katanya, PAPUH Muslim Travel Fair 2026 bukan sekadar platform jualan pakej umrah, malah menghimpunkan keseluruhan ekosistem pelancongan Islam termasuk institusi kewangan Islam, syarikat penerbangan, hotel dan agensi berkaitan di bawah satu bumbung.
“Pendekatan ini membezakan PAPUH Muslim Travel Fair daripada pameran lain kerana penyertaannya hanya melibatkan syarikat yang memenuhi syarat keahlian PAPUH, sekali gus memelihara integriti industri pelancongan Islam,” katanya.
Antara syarikat yang mengambil bahagian ialah Ikhlas.com, As Salik Travel & Tours, Zahafiz Travel & Tours, Jom Jelajah Benua Vacation, Hejaz Travel, Darul Mubarak Travel & Tours, Barakah Umhaj Travel & Tours, RMS Travel & Tours, Kurma Gateways Travel Management Sdn. Bhd. (Omega Travel & Tours), Iltizam Travel & Tours Sdn. Bhd. dan Murshid Al-Haramain Travel and Tours.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















