BERITA SEMASA

Jemaah terkandas gesa tindakan tegas terhadap penipuan umrah

BENTONG – Insiden terbaharu melibatkan 36 jemaah umrah yang terkandas di Madinah mencetuskan gesaan supaya tindakan lebih tegas diambil terhadap agensi pelancongan yang terbabit dalam penipuan pakej umrah.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, kejadian berkenaan membuktikan sindiket penipuan masih berleluasa dan memerlukan pendekatan penguatkuasaan yang lebih berkesan serta menyeluruh.

Menurutnya, arahan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing supaya mekanisme jaminan bank dilaksanakan sebagai syarat mandatori kepada agensi pelancongan adalah langkah tepat yang perlu dipercepatkan.

“Tindakan lebih tegas amat diperlukan kerana penipuan pakej haji dan umrah bukan isu baharu.

“Sejak 2024 hingga Mei 2025, sebanyak 204 aduan berkaitan penipuan umrah direkodkan dengan anggaran kerugian mencecah RM3.6 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut menerima 58 aduan berkaitan penipuan pakej haji dengan anggaran kerugian melebihi RM600,000, sekali gus menunjukkan tahap seriusnya masalah itu.

Young Syefura berkata, selain memperketatkan syarat pelesenan, tindakan undang-undang yang lebih berat perlu dikenakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab supaya menjadi pengajaran kepada semua.

“Tindakan tegas ini penting bukan sahaja untuk melindungi jemaah, malah bagi memulihkan imej industri umrah dan haji negara yang terjejas akibat perbuatan segelintir pihak,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memilih agensi atau pengusaha pakej umrah dan haji.

“Orang ramai perlu menyemak status lesen agensi dengan pihak berkuasa berkaitan sebelum membuat sebarang bayaran bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button