Rezeki tidak disangka, Abang Minyak Hitam Jalanan terima tajaan dua tiket tunai umrah
KUALA LUMPUR – Rezeki tidak disangka-sangka buat individu yang dikenali sebagai ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’ apabila beliau menerima tajaan dua tiket penerbangan umrah daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Dr Zulkifli berkata, pemberian itu dibuat selepas mendapati Mohd Yusof Mohd Noor masih belum pernah menunaikan ibadah haji atau umrah.
“Saya tanya abang Yusof tadi, sudah pernah pergi umrah atau haji dan katanya belum lagi.
“Jadi hari ini saya nak umumkan kita hadiahkan dua tiket penerbangan umrah. Terpulang kepada beliau nak pilih siapa nak ikutnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pengumuman khas rancangan TV Al Hijrah sempena musim haji di sini, semalam.
Baca juga : Khutbah Arafah 2026 pengisian utama musim haji, Ustaz Don kembali di TV AlHijrah
Sebelum ini, Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Abang Minyak Hitam Jalanan sering meraih perhatian di media sosial kerana kegiatannya membantu golongan memerlukan.
Terbaharu, tindakannya membantu seorang lelaki berbangsa Cina dikenali sebagai Dicky yang mengalami kerosakan motosikal tanpa mengenakan sebarang bayaran turut tular di media sosial.
Malah, beliau turut menghulurkan wang infak kepada individu berkenaan.
Sementara itu, Mohd Yusof berkata segala yang dilakukannya adalah kerana Allah SWT dan tidak mengharapkan sebarang balasan.
“Saya tak meminta apa-apa, ini semua rezeki. Saya pun tak tahu nak cakap apa kerana tak menjangkakan perkara ini boleh sampai ke tahap ini.
“Saya cuma jalankan amanah orang yang menginfak dan melakukan tanggungjawab sebagai pekerja. Saya tak mahu memegang duit infak terlalu banyak, takut tersalah guna atau gelap mata,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








