Laporan pakar Oxford jadi rujukan utama usaha bawa pulang gajah DAK
PUTRAJAYA – Satu laporan terperinci berkaitan kebajikan tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang disediakan pakar konservasi Universiti Oxford telah diserahkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sebagai rujukan utama dalam membuat keputusan berhubung usaha membawa pulang haiwan berkenaan ke Malaysia.
Laporan itu disediakan oleh pakar konservasi dan biologi gajah, William Keith Lindsay, sebelum diserahkan oleh aktivis kebajikan haiwan, Datin Shereen Yunos kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Shereen berkata, laporan berkenaan disediakan khusus untuk kegunaan kementerian dan dijangka menjadi antara dokumen penting yang akan dibincangkan di peringkat lebih tinggi termasuk di Parlimen.
“Pasukan kami hadir hari ini untuk menyerahkan laporan ini kepada menteri. Kami berharap ia akan membawa kepada keputusan muktamad bagi membolehkan Dara, Amoi dan Kelat dibawa pulang kerana itulah tujuan utama kami,” katanya kepada media di sini hari ini.
Beliau berkata, laporan tersebut tidak akan didedahkan kepada umum buat masa ini kerana ia berkemungkinan digunakan bagi tujuan perundangan selain memberi ruang kepada kementerian meneliti kandungannya secara terperinci.
Menurutnya, laporan itu lebih menyeluruh berbanding kajian sebelum ini kerana turut merangkumi metodologi, pendekatan kajian serta cadangan penyelesaian berkaitan kebajikan ketiga-tiga gajah berkenaan.
Sementara itu, wakil Pertubuhan Ehsan Haiwan, Norashikin berkata pihaknya mempersoalkan beberapa kenyataan sebelum ini yang mendakwa keadaan DAK berada dalam keadaan baik, selain menuntut penjelasan lanjut daripada pihak terlibat.
“Kami mahu tahu siapa yang mengeluarkan laporan itu dan berdasarkan penilaian siapa. Sebagai pencinta haiwan, kami perlukan penjelasan lebih terperinci,” katanya lagi.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap dakwaan perubahan berat badan haiwan berkenaan yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan sekiranya berpunca daripada kekurangan pergerakan.
Dalam pada itu, Shereen turut mencadangkan penubuhan pasukan petugas bebas bagi menilai keadaan gajah secara lebih telus dengan melibatkan pakar berkecuali dalam bidang konservasi.
Menurutnya, pasukan berkenaan telah menganalisis kira-kira 155 jam rakaman video yang turut diteliti oleh William Keith Lindsay.
“Beliau telah meneliti keseluruhan rakaman itu dan menghasilkan laporan yang sangat komprehensif,” katanya lagi.
Shereen berkata, pihaknya berharap usaha membawa pulang DAK dapat dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan demi memastikan kebajikan haiwan tersebut terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















