LUAR NEGARA

Misteri bahtera Nabi Nuh: Saintis kesan petunjuk baharu di Turkiye

ANKARA – Penyelidikan terhadap formasi berbentuk kapal di kawasan pergunungan timur Turkiye menemui petunjuk baharu yang mendorong saintis meneruskan siasatan terhadap dakwaan bahawa struktur itu mungkin mempunyai kaitan dengan bahtera Nabi Nuh.

Pasukan penyelidik antarabangsa kini menjalankan kajian komprehensif di Formasi Durupınar, berhampiran Gunung Ararat, menggunakan teknologi radar penembusan tanah (GPR), pemetaan digital, analisis tanah dan kaedah geofizik lain.

Menurut laporan Turkiye Today, kira-kira 20 saintis dan pelajar dari lima negara terlibat dalam kempen penyelidikan yang berlangsung dari 29 Jun hingga 11 September 2026.

Kajian itu diketuai pakar arkeologi Sivas Cumhuriyet University, Prof Dr Cenker Atila dengan kerjasama organisasi penyelidikan berpangkalan di Amerika Syarikat, Noah’s Ark Scans.

Analisis tanah yang dilakukan sebelum ini turut menarik perhatian apabila sampel yang diambil dari bahagian dalam formasi menunjukkan kandungan bahan organik kira-kira tiga kali ganda lebih tinggi berbanding sampel dari bahagian luar.

“Jumlah karbon yang dikesan dari bahagian dalam kapal adalah 40 peratus lebih tinggi berbanding apa yang ditemui di bahagian luar,” kata Dr Atila.

Menurut pasukan penyelidik, perbezaan itu berpotensi menunjukkan kewujudan bahan organik yang tertanam, namun ia masih belum membuktikan bahawa bahan berkenaan adalah tinggalan kayu atau sebahagian daripada kapal purba.

Selain itu, hasil tinjauan GPR terdahulu menunjukkan kewujudan corak linear serta struktur bersudut tepat di bawah permukaan formasi, termasuk ciri yang menyerupai koridor atau ruang.

Bagaimanapun, penyelidik menegaskan bahawa anomali radar semata-mata tidak mencukupi untuk membuktikan kewujudan struktur arkeologi atau mengesahkan teori bahtera Nabi Nuh.

Data berkenaan masih perlu diproses, dimodelkan dan dibandingkan dengan hasil kajian geologi serta geofizik lain.

Kajian itu mendapat kelulusan rasmi pihak berkuasa Turkiye pada tahun ini dan dilaksanakan sebagai penyelidikan geologi serta geofizik tanpa penggalian agresif.

Projek berkenaan bertujuan menentukan sama ada Formasi Durupınar mempunyai penjelasan geologi semula jadi atau terdapat bukti yang memerlukan siasatan arkeologi lanjut.

Formasi Durupınar yang terletak berhampiran Dogubayazit di wilayah Agri menjadi tumpuan sejak 1959 selepas dikenal pasti melalui gambar udara oleh Kapten Ilhan Durupinar.

Struktur sepanjang kira-kira 157 meter itu mempunyai bentuk menyerupai kapal dan sejak lebih enam dekad lalu menjadi lokasi pelbagai ekspedisi yang cuba mengaitkannya dengan kisah bahtera Nabi Nuh.

Namun, setakat ini tiada pengesahan saintifik bahawa Formasi Durupınar adalah bahtera Nabi Nuh.

Malah, organisasi yang menjalankan penyelidikan terbaharu itu sendiri menegaskan bahawa projek berkenaan tidak mengesahkan tuntutan sejarah atau agama, sebaliknya mengumpulkan data geofizik untuk penilaian saintifik lanjut.

Kajian terbaharu itu dijangka memberikan lebih banyak data mengenai struktur bawah permukaan kawasan berkenaan dan mungkin menentukan sama ada misteri Formasi Durupınar mempunyai asas arkeologi atau sekadar fenomena geologi semula jadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button