
Minyak bernilai RM260 juta dirampas, dua vesel ditahan
KOTA TINGGI – Muatan minyak yang dianggarkan bernilai RM260 juta dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama dua vesel yang disyaki menjalankan aktiviti kapal ke kapal tanpa kebenaran di perairan negara.
Kedua-dua vesel terbabit ditahan pada pukul 3.20 pagi semalam oleh bot ronda Maritim Malaysia menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili, susulan maklumat awam berhubung dua vesel mencurigakan yang dilihat berhimpit kira-kira 1.4 batu nautika barat laut Tanjung Buai.
Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib berkata, pemeriksaan mendapati vesel berkenaan terdiri daripada sebuah bot tunda dan kapal korek yang kedua-duanya berdaftar di Malaysia.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan sejumlah muatan minyak yang dipercayai tidak mempunyai dokumen berkaitan pemilikan dan penghantaran.
“Kedua-dua vesel bersama muatan minyak berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bot tunda itu dikendalikan lima kru termasuk nakhoda warga tempatan dan Indonesia berusia antara 26 hingga 58 tahun, manakala kapal korek mempunyai 13 kru termasuk nakhoda yang kesemuanya warga tempatan berusia 22 hingga 51 tahun.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana disyaki melakukan aktiviti kapal ke kapal tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) OPS 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran serta Akta Kastam 1967 berhubung penemuan muatan minyak yang disyaki tidak mempunyai dokumen berkaitan.
“Nilai keseluruhan rampasan membabitkan kedua-dua vesel dan muatan minyak itu dianggarkan RM260 juta,” katanya.
Maritim Malaysia turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau salah laku di laut menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili di 07-891 6595.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








