BERITA SEMASAPOLITIK

‘Minyak kita tak lalu Selat Hormuz’ – Dr Azman sokong kenyataan Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa kenaikan harga minyak tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia memiliki sumber sendiri adalah berasas dan disokong fakta, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim.

Menurut beliau, kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu tepat, malah realiti di Terengganu sendiri menunjukkan negara mempunyai kapasiti pengeluaran minyak mentah yang mencukupi.

Katanya, terdapat kira-kira 120 pelantar minyak yang sedang beroperasi di perairan Terengganu, meskipun angka tersebut sentiasa berubah bergantung kepada pembukaan dan penutupan pelantar.

“Minyak mentah dari pelantar akan disalur ke Loji Penapisan Minyak Petronas Kerteh sama ada melalui saluran paip dasar laut atau kapal tangki. Di loji ini, minyak mentah diproses menjadi pelbagai produk petroleum untuk kegunaan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau mempersoalkan kebergantungan kepada faktor luar seperti laluan perdagangan antarabangsa dalam menentukan harga minyak domestik.

“Kenapa nak tunggu kapal tangki lepas lalu Selat Hormuz baru nak turunkan harga minyak? Saya ulang! Minyak kita tak lalu Selat Hormuz!” tegasnya.

Sementara itu, Abdul Hadi Awang sebelum ini mempersoalkan kenaikan harga diesel di Semenanjung yang menurutnya tidak dikenakan di Sabah dan Sarawak, selain mendakwa langkah tersebut tidak mempunyai asas kukuh.

Dalam tulisan ‘Minda Presiden PAS’, Ahli Parlimen Marang itu turut menyatakan bahawa alasan mengaitkan kenaikan harga bahan api dengan ketegangan geopolitik di Timur Tengah, termasuk isu sekatan Iran di Selat Hormuz, tidak sepatutnya dijadikan justifikasi kepada rakyat di Semenanjung.

Menurutnya, Malaysia tidak wajar terkesan secara langsung memandangkan negara mempunyai sumber minyak dan gas sendiri, selain jaringan kerjasama dengan negara Islam lain yang kaya dengan sumber asli.

“Tidak ada sebab untuk menaikkan harga minyak kerana sebelum ini pernah membuat kenyataan berdegar-degar, boleh menyelesaikan isu harga minyak dalam masa kurang daripada 24 jam.

“Tetapi hari ini bersikap penakut dan hilang dunianya dengan berperisaikan alasan kenaikan harga minyak bersama Amerika Syarikat dan sekutunya yang sebenarnya berpunca daripada sekatan dilakukan oleh Iran,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button