BERITA SEMASA

Kapal tangki bawa 70 tan minyak hitam tanpa dokumen sah ditahan

KLANG – Cubaan sebuah kapal tangki membawa kira-kira 70 tan minyak hitam tanpa dokumen sah terbongkar selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan selatan Kampung Pulau Carey, awal pagi semalam.

Dalam operasi pada pukul 4 pagi itu, Maritim Malaysia turut menahan enam lelaki warga Indonesia termasuk nakhoda kapal berusia antara 33 hingga 58 tahun.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan tersebut adalah hasil risikan yang dijalankan Unit Risikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia bersama Maritim Selangor.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati kesemua suspek memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang disyaki meragukan.

“Selain itu, lesen operasi kapal didapati telah tamat tempoh dan kapal gagal mempamerkan permit serta dokumen berkaitan yang diwajibkan.

“Pemeriksaan turut menemukan kira-kira 70 tan minyak hitam, namun nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan atau pengangkutan muatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kapal tangki bersama nakhoda dan lima kru terbabit kemudian diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 135 Akta Kastam 1967 serta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button