BERITA SEMASADALAM NEGERI

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 400kg daun ketum

KUALA KEDAH – Cubaan menyeludup daun ketum ke negara jiran berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) apabila ratusan kilogram bahan itu dipercayai ditinggalkan sindiket selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa di perairan Pantai Leman, awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, sebanyak 40 bungkusan plastik hitam disyaki mengandungi kira-kira 400 kilogram daun ketum ditemui terapung pada pukul 2.22 pagi, kira-kira 0.3 batu nautika dari pantai berkenaan.

Menurutnya, penemuan itu hasil maklumat risikan dan rondaan rutin bot Maritim Malaysia di bawah Operasi AMAN serta Operasi GUARD Bil. 5/2025, yang mengesan pergerakan mencurigakan di kawasan operasi.

“Berdasarkan pemerhatian awal, bungkusan berkenaan dipercayai dibuang ke laut oleh sindiket bagi mengelak dikesan selepas menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua bungkusan yang dianggarkan bernilai RM60,000 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Siasatan awal turut mendapati kegiatan penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran masih berlaku walaupun tidak serancak sebelum ini susulan kebenaran penanaman pokok ketum di negara berkenaan.

Namun, permintaan terhadap daun ketum dari Malaysia masih wujud kerana dipercayai mempunyai kualiti lebih tinggi.

Dalam pada itu, Zon Maritim Kuala Kedah menegaskan komitmen berterusan Maritim Malaysia untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim, khususnya melibatkan bahan terlarang, bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terpelihara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-731 0579.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button