Cubaan seludup 2 ekor cuscus ke India digagalkan di KLIA
SEPANG – Cubaan seorang lelaki menyeludup dua haiwan eksotik dipercayai spesies cuscus ke India berjaya digagalkan pihak berkuasa selepas bagasi dibawanya dikesan mengandungi objek mencurigakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, kelmarin.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, suspek yang juga warga tempatan berusia 68 tahun ditahan pada pukul 8.40 malam hasil operasi bersama Polis Bantuan (AVSEC) KLIA.
Menurutnya, lelaki berkenaan disyaki cuba menyeludup dua haiwan tersebut dengan menyembunyikannya di dalam bagasi untuk dibawa ke destinasi akhir di Tiruchirapalli, India.
“Suspek dikesan membawa dua haiwan disyaki spesies cuscus yang disembunyikan di dalam bagasi miliknya.
“Perbuatan itu terbongkar selepas imej pada mesin pengimbas di KLIA menunjukkan objek mencurigakan di dalam bagasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap bagasi suspek kemudian menemukan dua bekas plastik yang mengandungi hidupan liar tersebut.
Siasatan awal mendapati haiwan berkenaan dipercayai diseludup dari habitat asalnya di Papua New Guinea sebelum cuba dibawa keluar dari negara ini.
Menurut Abdul Kadir, suspek yang berasal dari India tetapi memiliki status warganegara Malaysia itu dipercayai cuba menaiki penerbangan ke Tiruchirapalli ketika ditahan.
Kes berkenaan merupakan kejadian kedua dilaporkan dalam tempoh seminggu di KLIA membabitkan cubaan menyeludup hidupan liar.
Sebelum ini, seorang wanita tempatan berusia 38 tahun turut diberkas selepas dipercayai cuba menyeludup empat ekor siamang melalui lapangan terbang sama untuk dibawa ke Tiruchirapalli, India.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








