BERITA SEMASA

Kerajaan mahu tutup ‘missing middle’ penyelidikan dan pengkomersialan

KUALA LUMPUR – Kerajaan mahu merapatkan jurang antara penyelidikan, pengkomersialan dan pasaran bagi memastikan lebih banyak teknologi tempatan berjaya berkembang menjadi produk, syarikat serta perusahaan berdaya saing global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia sebenarnya sudah mempunyai asas kukuh dalam penyelidikan dan inovasi, namun masih berdepan cabaran untuk membawa hasil penyelidikan daripada makmal ke peringkat komersial.

“Keadaan ini boleh diibaratkan sebagai ‘missing middle’ atau ruang kritikal yang perlu ditangani bagi memastikan teknologi berpotensi tidak terhenti selepas menghasilkan prototaip atau paten.

“Banyak teknologi yang menjanjikan paling terdedah pada peringkat ini. Menghasilkan penyelidikan yang baik adalah satu perkara, tetapi membawanya melalui proses pengesahan, mendapatkan rakan industri atau pelanggan pertama, menarik modal dan akhirnya mengembangkannya sebagai perniagaan yang berdaya maju adalah perkara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Zahid, Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 139 ekonomi dalam Global Innovation Index (GII) 2025 dan tempat kedua dalam kalangan ekonomi berpendapatan menengah atas.

Bagaimanapun, katanya, prestasi negara dari segi input inovasi masih lebih baik berbanding output inovasi, menunjukkan keperluan untuk memperkukuh keupayaan menerjemahkan bakat, penyelidikan dan pelaburan kepada produk serta nilai ekonomi.

“Secara mudahnya, kita sudah mempunyai banyak ramuan untuk inovasi. Apa yang kita perlukan sekarang ialah resipi yang menggabungkan bakat, penyelidikan, modal dan industri untuk menghasilkan nilai yang lebih besar kepada negara,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menggesa kerajaan, universiti, industri dan pelabur bekerjasama lebih rapat bagi memastikan hasil penyelidikan berpotensi mendapat laluan yang jelas ke pasaran.

URIIS 2026 dianjurkan sebagai platform yang menghubungkan universiti, industri, pelabur dan pembuat dasar bagi membangunkan saluran penyelidikan dan pembangunan yang boleh dilaburkan serta dikomersialkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button