Laporan awal bot PATI karam di perairan sempadan dibentang dalam mesyuarat Kabinet esok
SEPANG – Laporan awal berkenaan insiden bot karam yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan sempadan Malaysia-Thailand dekat Langkawi, akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet, esok.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perkara itu membabitkan beberapa isu yang mana tragedi itu juga menjadi tumpuan dunia.
“Saya diminta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk sampaikan sebab ini kemungkinan membabitkan jenayah terancang, pemerdagangan manusia, dan pelbagai perkara,” dalam ucapan PDRM Special Dialogue IV 2025, di sini hari ini.
Saifuddin turut menyatakan penghargaan kepada pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang membabitkan kekuatan seramai 177 pegawai dan anggota.
“Saya mengucapkan syabas terhada anggota dan pegawai termasuk dari Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.
“Itu semua kita aktifkan bilik gerakan dengan penggunaan teknologi radar dan sebagainya,” katanya lagi.
Dalam insiden berkenaan, sebuah bot dipercayai membawa 90 PATI daripada Myanmar, Bangladesh dan Rohingya karam di laut berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dilaporkan dipetik sebagai berkata, bot berkenaan merupakan salah satu daripada tiga bot kecil yang berasal daripada sebuah kapal besar yang membawa kira-kira 300 orang dipercayai PATI.
Setakat semalam, media melaporkan jumlah mangsa bot karam yang ditemukan meninggal dunia adalah 25 orang manakala 14 lagi selamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








