BERITA SEMASAPOLITIK

DUN Melaka dibubar berkuatkuasa esok

ALOR GAJAH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan dibubarkan berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan Negeri di Auditorium Seri Negeri, petang ini.

Beliau berkata, surat pembubaran DUN berkenaan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

Pembubaran itu sekali gus menamatkan penggal DUN Melaka sedia ada sebelum mandat baharu diserahkan kepada rakyat menerusi proses pilihan raya.

Ab Rauf berkata, urusan pentadbiran kerajaan negeri akan terus berjalan seperti biasa sepanjang tempoh selepas pembubaran DUN sehingga PRN selesai.

“Sepanjang tempoh tersebut,  keutamaan kita adalah memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu dan kepentingan rakyat terus terpelihara.

“Justeru itu semua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing secara profesional mengikut undang-undang dan tatakelola,” katanya.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dan tempoh penggal semasa dijadual berakhir pada 27 Disember ini.

Dengan pembubaran DUN, proses seterusnya ialah pelaksanaan pilihan raya bagi memilih wakil rakyat bagi 28 kawasan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button