Wanita dipijak dalam video tular dakwa kini selamat, jalani rawatan pemulihan
KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang ditendang dan dipijak dalam satu video yang tular baru-baru ini memaklumkan dirinya kini dalam keadaan selamat dan menjalani rawatan pemulihan selepas diselamatkan polis.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, pengguna dikenali sebagai @cikninbungatulip berkata, tindakan pantas jiran yang menghubungi polis membolehkan dia dibawa keluar daripada situasi berkenaan sebelum menerima bantuan lanjut.
Menurut wanita itu, dia kini berada di bawah pemantauan pakar perubatan termasuk dua doktor yang mengendalikan kes berkaitan mangsa jenayah dan trauma.
“Aku kena pergi pemulihan atas arahan polis. Hospital bagi doktor pakar kes jenayah untuk bantu rawat aku,” katanya dalam hantaran tersebut.
Dalam video tular berkenaan, wanita itu dilihat ditendang sehingga terbaring sebelum dipijak seorang lelaki berkasut.
Wanita itu turut memaklumkan bahawa doktor menasihatinya supaya meninggalkan semua kumpulan WhatsApp dan mengelakkan diri daripada pulang ke kampung untuk bertemu ibu bapanya buat sementara waktu bagi mengurangkan tekanan emosi serta faktor pencetus trauma.
Dia turut mendakwa berdepan situasi sukar apabila hubungan dengan rakan-rakan menjadi renggang susulan kejadian yang berlaku.
“Kawan-kawan semua benci aku. Doktor suruh aku left group sebab severe condition aku,” katanya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya menzahirkan simpati serta memberi sokongan moral kepadanya.
Seorang pengguna, @rusleena_inas berkata, tindakan doktor itu dilihat wajar kerana sesetengah kumpulan sembang di media sosial boleh memberi tekanan emosi kepada mangsa berbanding membantu proses pemulihan.
“Kadang-kadang kumpulan WhatsApp bukan menyokong tetapi lebih menekan hingga perasaan dan kesihatan mental mangsa terabai,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @nsd_ns1806 pula berharap wanita berkenaan diberikan kekuatan serta peluang untuk memulakan kehidupan baharu tanpa terus dibelenggu pengalaman pahit.
“Tak sepatutnya seorang wanita or any human being dibuat macam ni. Semoga dipermudahkan segala urusan awak dan disembuhkan segala yang sakit di badan dan di hati. I hope one day you can begin a new life, tanpa manusia-manusia yang tak menghargai awak,” komennya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















