BERITA SEMASA

Yusuf Azmi tampil mohon maaf, akui terkhilaf buat gimik berlebihan

KUALA LUMPUR – Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan), Yusuf Azmi hari ini tampil mengakui kesilapannya ketika mempromosikan Kejohanan Warzone World Championship (WWC) beberapa hari yang lalu.

Yusuf menerusi klip video yang dimuat naik di akaun media sosial miliknya mengakui kekhilafan pihaknya akibat melakukan gimik berlebihan dan berjanji tidak akan melakukan perkara sedemikian selepas ini.

“Saya mohon maaf kepada semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan serta semua yang terlibat dalam sukan kombat seperti ini.

“Saya tiada niat lain, tiada kesengajaan dalam promosi itu, ini pengalaman pihak saya menganjurkan kejohanan besar ini. Saya akui ini sekadar gimik semata-mata,” jelasnya dalam klip tersebut.

Jelasnya, teguran yang telah dibuat oleh orang berkepentingan dalam sukan berkenaan akan diambil iktibar serta kejadian seperti itu tidak akan berulang,

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua atlet serta persatuan Muay Thai terutamanya kepada Alif Rakib, Afiq Masdor serta Johan Ghazali.

“Itu hanya gimik, tiada niat lain. Kami cuba untuk membuatkan kejohanan ini sebagai satu kejohanan yang terbaik,” katanya lagi.

Terdahulu, tular klip video di media sosial menunjukkan pertengkaran antara petarung Malaysia dan Indonesia.

Video itu dipercayai sebahagian daripada promosi acara dan menimbulkan kritikan dalam kalangan komuniti sukan tempur di negara ini.

Susulan itu, KBS memaklumkan bahawa Warzone World Championship (WWC) tidak mendapat kelulusan rasmi daripada pihaknya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button