Insiden tular ditumbuk: Lelaki maafkan warga emas, serah siasatan kepada polis
KUALA LUMPUR – “Saya sudah maafkan, namun tindakan undang-undang tetap akan diteruskan.”
Demikian tegas Ahmad Zhafri Samsudin susulan insiden beliau ditumbuk seorang warga emas ketika beratur membeli nasi lemak, kelmarin.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahmad Zhafri merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan serta orang ramai yang memberikan sokongan dan kata-kata semangat sejak insiden tersebut tular di media sosial.

“Saya baik-baik saja, cuma masih terkejut dan masih cuba menenangkan diri. Kecederaan yang dialami juga tidaklah seteruk mana,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa dirinya merupakan individu biasa yang tidak mencari permusuhan serta memilih untuk hidup dalam suasana harmoni dan berkomuniti.
“Saya tidak sempurna, manusia biasa. Saya hidup berkomuniti dan tidak mencari musuh,” katanya.
Mengulas kejadian itu, beliau berkata insiden yang berlaku di Puncak Alam memberi pengajaran bahawa kekerasan bukan jalan penyelesaian, namun setiap individu juga mempunyai batas kesabaran.
“Insiden Jumaat lepas mematangkan kita. Kekerasan bukan sentiasa jalan yang betul. Sabar seseorang juga ada hadnya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia mempunyai sistem undang-undang yang perlu dihormati dan diyakini bagi menegakkan keadilan.
“Ini Malaysia, ada undang-undang. Saya percaya sistem perundangan negara sentiasa berpihak kepada mereka yang berada di jalan yang benar,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengesahkan telah memaafkan individu warga emas yang terlibat dalam insiden tersebut, namun tetap menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Saya sudah maafkan beliau, tetapi tindakan undang-undang tetap akan diambil.
“Saya serahkan kepada PDRM dan berharap orang ramai berhenti membuat spekulasi serta menyebarkan maklumat tidak tepat dan berbaur rasis,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 11 minit 55 saat yang memaparkan seorang lelaki warga emas menumbuk Ahmad Zhafri secara tiba-tiba ketika beliau sedang beratur membeli makanan.
Ia dipercayai berpunca selepas beliau terbatuk di hadapannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















