BERITA SEMASA

Video ‘deepfake’ KP tular, AKPS sahkan akaun TikTok palsu

KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menafikan sekeras-kerasnya kesahihan video tular di TikTok yang memaparkan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan menegaskan kandungan tersebut sebagai video yang dimanipulasi menggunakan teknologi deepfake.

Dalam satu kenyataan hari ini, AKPS memaklumkan akaun TikTok menggunakan nama @Haily Only Official bukan milik Mohd Shuhaily dan tidak pernah diiktiraf oleh agensi berkenaan.

“AKPS mengesahkan video tular serta akaun media sosial di platform TikTok bernama @Haily Only Official adalah palsu dan bukan milik Ketua Pengarah AKPS.

“Video berkenaan dipercayai telah dimanipulasi menggunakan teknologi deepfake sehingga mengelirukan orang ramai dan menimbulkan persepsi seolah-olah ia merupakan kenyataan rasmi daripada beliau,” menurut kenyataan itu.

Menurut AKPS, pihaknya turut mengesan beberapa akaun media sosial lain yang tidak dimiliki atau diiktiraf oleh Mohd Shuhaily, namun menggunakan nama, wajah dan rakaman video beliau bagi tujuan tertentu.

“AKPS mendapati terdapat beberapa akaun media sosial lain yang tidak dimiliki atau diiktiraf oleh Ketua Pengarah, tetapi menggunakan nama, imej dan video beliau bagi meraih publisiti serta keuntungan peribadi,” katanya.

Sehubungan itu, AKPS menegaskan tindakan tegas termasuk tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati menyalahgunakan nama, imej dan identiti Ketua Pengarah agensi berkenaan pada akaun media sosial tidak sah.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan kandungan palsu di media sosial dan sentiasa merujuk kepada saluran rasmi AKPS bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button