BERITA SEMASA

Insiden tembak tidak jejas semangat warga AKPS jaga sempadan negara

PUTRAJAYA – Insiden tembak terhadap Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M. Nassir, pagi tadi sama sekali tidak melemahkan semangat warga agensi berkenaan.

Sebaliknya, kata AKPS, kejadian tersebut secara langsung memperkukuh iltizam pegawai dan anggota agensi berkenaan untuk terus melaksanakan tugas secara profesional dalam menjaga keselamatan sempadan negara.

“AKPS akan terus memastikan setiap pintu masuk negara kekal selamat, terkawal dan berdaulat, serta tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang ancaman yang cuba menggugat keselamatan, keamanan dan kedaulatan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, seorang komander kanan keselamatan sempadan nyaris menjadi mangsa tembakan, awal pagi tadi.

Kejaidan berlaku ketika Mohd Nasaruddin difahamkan dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat Subuh dengan memandu Proton S70 jenis SUV.

Secara tiba-tiba, dua individu menaiki motosikal dengan lampu dipadamkan menghampiri kenderaannya sebelum salah seorang suspek melepaskan tembakan.

AKPS menegaskan bahawa sebarang bentuk ancaman, ugutan atau serangan terhadap petugas keselamatan negara adalah satu perbuatan jenayah yang tidak boleh diterima.

“Insiden yang berlaku pagi tadi adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab yang dipandang serius dan sama sekali tidak akan dikompromi.

“Tindakan tegas akan diambil selaras dengan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan serta kedaulatan pintu masuk negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button